Isnin, 9 September 2019 | 3:02pm
PEGAWAI Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) meninjau tapak sampah ketika mengadakan operasi SWCorp menggempur sampah haram di Malim Jaya. NSTP/Ihsan SWCORP

Sisa industri, perabot paling banyak ditemui dalam operasi sampah haram

MELAKA: Longgokan sampah daripada bahan sisa industri, barangan pukal serta perabot paling banyak ditemui setiap kali operasi dibuat Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri bagi menggempur sampah haram di negeri ini.

Pengarah SWCorp negeri, Khairul Adha Mutalib, berkata ia terbukti melalui 24 operasi menggempur sampah haram membabitkan beberapa ‘lokasi panas’ tapak pembuangan sampah haram di negeri ini sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini, kita sudah menjalankan sebanyak 24 operasi dengan kebanyakannya lokasi panas tertumpu di daerah Melaka Tengah.

LONGGOKAN sampah daripada bahan sisa industri, barangan pukal serta perabot yang paling banyak ditemui dalam setiap operasi dibuat Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri bagi menggempur sampah haram di Malim Jaya. NSTP/Ihsan SWCORP

“Dalam operasi ini, bahan sisa industri, barangan pukal serta perabot yang paling banyak ditemui dibuang dalam lokasi sampah haram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairul Adha berkata, antara lokasi panas bagi operasi sampah haram itu termasuklah di Jalan Datok Said Kampung Tampoi, Jalan Malim Balai Panjang, Jalan Padang Japerun, Solok Telok Bukit Baru, Kampung Kandang, Industri Telok Mas; Kampung Padang Temu dan Taman Kasturi Semabok.

“Operasi sampah haram turut tertumpu di kawasan Industri Krubong, Taman Krubong Jaya, Jalan Padang Keladi, Taman Seri Bayan, Batu 20 Kampung Rim, Taman Kesang Damai dan IKS Selandar Fasa 2.

“SWCorp turut menjalankan operasi di Kawasan Perindustrian Merlimau, Industri Rembia, Taman Samarinda, Industri Tasek Utama, Taman Merdeka Permai, dan kawasan perkuburan di Sungai Putat,” katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan larangan pembuangan sampah dibuat di bawah peruntukan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di bawah Seksyen 71(1) Akta 672.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, denda minimum boleh dikenakan sebanyak RM10,000 hingga maksimum RM100,000 atau penjara minimum selama enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Berita Harian X