Selasa, 10 September 2019 | 5:45pm
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan memasang alat penutup mulut kepada pelajar di Sekolah Kebangsaan Parit Selangor, Pontian. - Foto Togi Marzuki

14 calon UPSR pindah sekolah akibat asap

PONTIAN: Seramai 14 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Selangor di sini, terpaksa dipindahkan ke SK Kampung Sawah, Pekan Nanas, hari ini, kerana gangguan asap akibat kebakaran tanah gambut berhampiran sekolah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan, berkata semua calon itu terpaksa menduduki peperiksaan di SK Kampung Sawah hari ini dan esok bagi mengelakkan tumpuan mereka terjejas akibat kejadian berkenaan.

“SK Parit Selangor adalah sekolah paling hampir dengan kawasan tanah gambut seluas kira-kira 12 hektar milik Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI) yang terbakar sejak beberapa hari lalu.

“Alat pengukur kualiti udara yang dipasang oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) lima hari lalu di sekolah berkenaan merekodkan indeks pencemaran udara (IPU) pada bacaan 194 pagi tadi dan 200 malam tadi yang dikategorikan sebagai tidak sihat.


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan (kanan) membaca rekod pencemaran udara di Sekolah Kebangsaan Parit Selangor, Pontian.- Foto Togi Marzuki

“Justeru, semua calon UPSR sekolah ini diminta menduduki peperiksaan di SK Kampung Sawah bermula hari ini sehingga esok,” katanya ketika meninjau sekolah berkenaan, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong; Pegawai Pendidikan Daerah Pontian, Shaharudin Basri Ibrahim dan Guru Besar sekolah itu, Azeman Sailin.

Sementara itu, Azeman berkata, sekolahnya yang mempunyai 144 murid terletak dua kilometer dari kawasan kebakaran manakala SK Kampung Sawah pada jarak lima kilometer.

Kebakaran tanah gambut berkenaan bermula Selasa lalu dengan bomba sudah memadamkan sebahagian daripadanya, namun difahamkan api merebak disebabkan keadaan cuaca panas selain api bawah tanah yang belum padam sepenuhnya.

223 dibaca
Berita Harian X