Selasa, 10 September 2019 | 11:49pm
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo. - NSTP/Mikail Ong

Seberang Perai bakal diisytihar bandar raya pada 16 September

GEORGETOWN: Seberang Perai bakal diisytiharkan sebagai bandar raya pada Hari Malaysia, 16 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata pihaknya sudah menyerahkan surat bagi pengisytiharan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kepada Istana Negara untuk mendapat perkenan.

“Dengan perisytiharan itu, kedua-dua pihak berkuasa tempatan di Pulau Pinang akan menjadi majlis bandaraya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperoleh status bandar raya pada 2015.

Jagdeep berkata, bagi membolehkan diisytihar sebagai bandar raya, pihak perbandaran harus memenuhi prasyarat tertentu seperti mempunyai 500,000 penduduk, pendapatan tahunan lebih dari RM100 juta serta mempunyai kemudahan seperti kawasan perindustrian, institusi pendidikan, kemudahan perubatan, institusi kewangan dan kemudahan untuk menarik pelabur dan pembangunan yang memberi tumpuan kepada pembangunan mampan.

Beliau berkata, Presiden MPSP, Datuk Rozali Mohamud akan dilantik sebagai Datuk Bandar Seberang Perai sebaik sahaja memperoleh status itu. – BERNAMA

385 dibaca
Berita Harian X