Rabu, 11 September 2019 | 5:36pm
Gambar fail, pakar ekologi marin dari Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Muhammad Ali Syed Hussein. - Foto Malai Rosmah Tuah

Kena tunggu 10 tahun terumbu karang rosak tumbuh semula

KOTA KINABALU: Proses untuk terumbu karang yang rosak tumbuh semula dan menjadi seperti keadaan asal memerlukan masa sangat panjang.

Pakar ekologi marin dari Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Muhammad Ali Syed Hussein, berkata tempoh untuk karangan laut tumbuh semula sahaja sudah mengambil masa sekurang-kurangnya lima hingga 10 tahun.

“Jika mahu melihat ia kembali seperti keadaan asal, memerlukan masa yang sangat panjang. Kita pun tidak tahu berapa lama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas kejadian terumbu karang rosak dilanggar kapal kargo terkandas di perairan cetek berdekatan Pulau Kalampunian Kecil, Kudat pada Ahad lalu, beliau berkata, jangkaan lima hingga 10 tahun itu turut tertakluk kepada keadaan semasa di perairan terbabit.

Katanya, banyak faktor boleh menjejaskan batu karang untuk tumbuh semula di sesuatu lokasi, termasuk ancaman pencemaran seperti tumpahan minyak dan pembiakan alga, selain arus dan gelombang laut.

“Selepas dilanggar kapal kargo, banyak batu karang yang patah dan apabila dilanda arus laut, ia akan bergolek dan melanggar batu karang yang baru tumbuh. Ini boleh menjejaskan pertumbuhan batu karang di kawasan itu.

“Jika perairan di kawasan itu banyak nutrien pula, ia akan menggalakkan pertumbuhan alga pada batu karang yang patah dan mati. Akhirnya akan menjejaskan pertumbuhan karang baharu,” katanya.

Katanya, keadaan itu sama dengan batu karang yang rosak akibat aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan atau bom ikan seperti yang sering dilaporkan di perairan negeri ini.

“Jangka masa lima hingga 10 tahun itu hanya untuk batu karang benar-benar sudah melekat atau tumbuh,” katanya.

Beliau menyifatkan kes terumbu karang sihat dirosakkan hanya dalam sekelip mata akibat dilanggar kapal atau dibom sebagai satu kerugian kepada khazanah marin.

“Ia dirosakkan dalam sekelip mata, tetapi mengambil masa yang sangat panjang untuk pulih semula,” katanya.

Lokasi insiden kapal kargo terkandas di perairan Kudat itu adalah di kawasan terumbu karang yang dijadikan lokasi menyelam dikenali ‘Nemo Point’.

Ia juga antara tempat penyu mencari makan serta sebahagian daripada taman marin Taman Tun Mustapha seluas 898,762.76 hektar dengan biodiversiti unik yang menyokong habitat kompleks hidupan marin di perairan Kudat.

Difahamkan, Taman-Taman Sabah (TTS) yang bertanggungjawab memantau kawasan taman berkenaan sudah memulakan siasatan insiden itu termasuk menilai keadaan kerosakan yang dialami.

143 dibaca
Berita Harian X