Isnin, 16 September 2019 | 1:34pm
KEADAAN jerebu di bandaraya Kuching. - Foto BERNAMA

Sekolah di kawasan jerebu teruk dijangka tutup esok

[email protected]

KUCHING: Sebanyak 500 sekolah di tiga bahagian di negeri ini dijangka ditutup esok berikutan keadaan jerebu yang berlaku ketika ini.

Ia selaras dengan Surat Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 1 Tahun 2019 bertarikh 15 Januari 2019 bahawa jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, semua sekolah di kawasan atau daerah terjejas perlu ditutup serta merta.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Dr Azhar Ahmad, berkata tindakan itu demi menjamin kesihatan dan keselamatan murid.

“Arahan itu terpakai dalam keadaan jerebu yang berlaku sekarang,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Berdasarkan surat berkenaan, pengetua dan guru besar hendaklah memaklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhubung langkah penutupan sekolah itu.


KEADAAN jerebu di bandaraya Kuching. - Foto BERNAMA

Bagi kawasan yang bacaan IPU melebihi 100, pihak sekolah hendaklah menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah, manakala aktiviti keramaian atau sukan di luar bangunan ditangguhkan.

Selain itu, semua jenis peperiksaan termasuk peperiksaan awam pula perlu diteruskan, namun Lembaga Peperiksaan (LP) akan menangguhkan peperiksaan kepada tarikh yang akan ditetapkan jika bacaan IPU mencecah 300.

Berdasarkan maklumat di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga jam 12 tengah hari ini, tiga lokasi mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat apabila melebihi 200.

Kawasan terbabit ialah Kuching yang mencatat IPU 241, Samarahan (213) dan Sri Aman (220).

Sementara itu, tujuh kawasan lain mencatatkan IPU tidak sihat iaitu Sarikei (155), Sibu (137), Bintulu (149), Mukah (133), Samalaju (132), Institut Latihan Perindustrian Miri (125) dan Miri (126).

Keadaan berjerebu sekarang berlaku kesan hampir 1,000 tompok panas di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia hari ini.

Berita Harian X