Khamis, 19 September 2019 | 12:45am
KETUA Menteri, Adly Zahari hadir pada Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2019 di Masjid Al Syuhadah, Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka, sebentar tadi. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
KETUA Menteri, Adly Zahari hadir pada Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2019 di Masjid Al Syuhadah, Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka, sebentar tadi. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Melaka rumus pelan jangka pendek, sederhana, panjang tangani isu air - Adly Zahari

MELAKA: Kerajaan negeri melancarkan strategi jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani segera isu kekurangan bekalan air di negeri ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata melalui pelan jangka pendek, pihaknya akan terus mencari sumber dari kolam takungan air termasuk lombong terbiar, selain memanfaatkan perjanjian air dengan negeri jiran menerusi bekalan air mentah sebanyak 270 juta liter air sehari dari Sungai Gersik, Johor serta membeli bekalan air bersih dari Negeri Sembilan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sudah memuktamadkan tender yang dijangka dilaksana 24 Oktober ini bagi projek Tasik Air Biru di Chinchin, Jasin bernilai RM35 juta sebagai pelan jangka sederhana bekalan air yang diunjur mampu disiapkan seawal tahun depan.

“Menerusi projek Tasik Air Biru ini, kita jangkakan sebanyak 200 juta liter air dapat dipam ke Empangan Durian Tunggal.

“Bagi pelan jangka panjang, kerajaan negeri sedang menunggu kelulusan kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tanah, Air dan Sumber Asli bagi projek Empangan Sungai Jernih di Alor Gajah bernilai RM270 juta sebelum tender projek dibuka pada hujung tahun ini.

“Kita jangkakan, paling awal projek Empangan Sungai Jernih ini dapat dimulakan pada pertengahan tahun depan. pada peringkat kerajaan negeri, kita sudah memuktamadkan proses pengambilan tanah, termasuk urusan sempadan dan mengharapkan kementerian dapat mempercepatkan proses pembinaan Empangan Sungai Jernih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2019 di Masjid Al Syuhadah, Kem Terendak, Sungai Udang di sini, sebentar tadi.

Pada majlis itu, Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil, mengimamkan solat berjemaah serta solat sunat yang dihadiri kira-kira 800 jemaah di masjid berkenaan.

Mengulas lanjut, Adly berkata kerajaan negeri juga komited untuk menambah baik model pengurusan air negeri Melaka pada masa depan memandangkan sistem sedia ada dilihat banyak bergantung kepada taburan hujan.

“Sepatutnya, ketika musim hujan dan banjir di Melaka, air itu kita dapat manfaatkan untuk memenuhi kawasan tadahan air serta empangan, namun model sedia ada dilihat tidak dapat memanfaatkan sumber hujan untuk dialirkan ke empangan.

“Kita mahu melakukan penambahbaikan terutama di kawasan tadahan air di Gangsa supaya bila berlaku banjir, ia dapat dialirkan ke empangan kita, sekali gus menyelesaikan masalah kekurangan air pada masa depan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X