Khamis, 19 September 2019 | 2:14pm

Perairan Pulau Rawa kembali bersih

JOHOR BAHRU: Tiada lagi tompokan minyak dikesan di Pulau Rawa, Mersing selepas kerja pembersihan dilaksanakan selama tiga hari sehingga Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan, Dickson Dollah, berkata tinjauan dan siasatan oleh pasukan ‘Melawan Tumpahan Minyak’ jabatan berkenaan semalam tidak menemui kesan sisa minyak baharu.

“Pemantauan menerusi dron Jabatan Laut Wilayah Selatan mendapati tiada kesan baharu sisa minyak di pantai dan sekitar perairan Pulau Rawa.

“Ia susulan tindakan proaktif dan pantas Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kluang, Pejabat Daerah Mersing, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penduduk tempatan membersihkan tompokan minyak di kawasan pantai serta perairan Pulau Rawa sejak tompokan itu dikesan, pencemar itu Jumaat lalu.

PEMANTAUAN menerusi dron Jabatan Laut Wilayah Selatan semalam mendapati tiada lagi kesan tompokan minyak dikesan di Pulau Rawa, Mersing selepas kerja pembersihan dilaksanakan serta-merta selama tiga hari sehingga Ahad lalu. - Foto ihsan Jabatan Laut

“Kita juga cuba menerbangkan dron di kawasan perairan Pulau Rawa yang lebih luas namun laut bergelora dan angin kencang menyebabkan ia ia tidak dapat diterbangkan lebih tinggi dan kawasan lebih jauh.

“Bagaimanapun, pemantauan akan diteruskan bila keadaan cuaca sesuai,” katanya kepada BH ketika dihubungi, hari ini.

Semalam BH melaporkan, tompokan sisa minyak dikesan di sepanjang jajaran Pulau Rawa, Mersing, Jumaat lalu, sekali gus menimbulkan ancaman terhadap pulau pelancongan yang terkenal dengan keindahan pantai dan kejernihan air lautnya.

Dickson dilaporkan berkata, tompokan minyak itu disedari penduduk mencemari kawasan perairan dan ada yang melekat di kawasan pantai pulau berkenaan

Katanya, tompokan berkenaan membabitkan Marine Fuel Oil yang biasanya dibuang oleh kapal tangki yang melalui perairan berhampiran.

Katanya, jumlah 100 beg sebatian minyak berkenaan yang dikumpul dan dibersihkan dianggar berjumlah 1,000 kilogram.

“Ia adalah jumlah yang agak besar dan pemantauan perlu dilakukan lebih bersungguh-sungguh supaya tiada kapal sewenang-wenangnya mengambil kesempatan membuang sisa minyak ke kawasan perairan negara ini kerana mengancam alam selain industri pelancongan negara, ” katanya.

PEMANTAUAN menerusi dron Jabatan Laut Wilayah Selatan semalam mendapati tiada lagi kesan tompokan minyak dikesan di Pulau Rawa, Mersing selepas kerja pembersihan dilaksanakan serta-merta selama tiga hari sehingga Ahad lalu. - Foto ihsan Jabatan Laut
PEMANTAUAN menerusi dron Jabatan Laut Wilayah Selatan semalam mendapati tiada lagi kesan tompokan minyak dikesan di Pulau Rawa, Mersing selepas kerja pembersihan dilaksanakan serta-merta selama tiga hari sehingga Ahad lalu. - Foto ihsan Jabatan Laut
Berita Harian X