Sabtu, 21 September 2019 | 12:52pm
PENGERUSI Sukarelawan Kanser Kedah, Zuraini Kamal (tengah), melawat dan menyerahkan bantuan kepada Muhammad Muazzudin Mohd Hayat, 3, yang menghidap kanser neuroblastoma tahap empat di Kampung Telok Nibong, Jitra. NSTP/Noorazura Abdul Rahman.

Kanak-kanak deritai barah tahap empat

KUBANG PASU: Pada usia baru tiga tahun, Muhammad Muazzudin Mohd Hayat terpaksa bertarung dengan kanser neuroblastoma (barah berkaitan saraf) tahap empat dan sudah menjalani lapan sesi kemoterapi.

Penyakit itu menyebabkan kanak-kanak berkenaan tidak mampu berjalan, selain sukar membuang air kecil mahupun besar sehingga sering menangis kesakitan.

Ibunya, Nor Asnah Asmo, 36, berkata Muhammad Muazzudin atau lebih mesra dipanggil Muaz, adalah seorang yang ceria dan aktif sebelum ini tetapi keadaan berubah sejak April lalu apabila anak keempat daripada lima beradik itu kerap demam.

“Saya membawanya ke Hospital Jitra sebelum Muaz disahkan menghidap anemia. Suatu hari, Muaz terjatuh di dalam bilik air dan lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Telok Nibong, Jitra, di sini.

Suri rumah itu berkata, pada Mei lalu, doktor mengesahkan Muhammad Muazzudin menghidap kanser selepas melakukan imbasan ultrasound dan pengimejan resonans magnetik (MRI) yang mendapati ada ketumbuhan antara buah pinggang dengan limpa sehingga menyebabkan ia menyerang saraf tunjang serta saluran darah utama di perut.

Beliau berkata, pihaknya turut dimaklumkan bahawa ketumbuhan itu terlalu besar dan tidak boleh dibuang melalui pembedahan, kecuali menjalani kemoterapi terlebih dahulu.

“Doktor memberi harapan 20 peratus untuk Muaz kembali sembuh, namun saya tetap mahu kemoterapi diteruskan sehinggalah ia terpaksa dihentikan kerana doktor khuatir berlaku pendarahan berikutan platelet rendah.

“Sekarang, saya berserah kepada Allah SWT. Muaz hanya bergantung pada ubat, selain perlu minum susu khas berharga RM78 setin yang bertahan tidak sampai seminggu.

“Saya dan suami, Mohd Hayat Mohd Abdullah, 36, juga terpaksa berulang-alik membawa Muaz ke Hospital Sultanah Bahiyah serta Hospital Pulau Pinang lebih empat kali sebulan yang membabitkan kos amat tinggi bagi kami,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, suaminya terpaksa mengambil cuti tanpa gaji sebagai pemandu bas di Kuala Lumpur, menyebabkan mereka terputus sumber pendapatan dan mengharapkan bantuan ihsan saudara-mara.

Katanya, mereka menghantar tiga anak ke sekolah dan berada di sisi Muaz yang sangat memerlukan perhatian kedua-dua ibu bapa.

Nasib menimpa Muhammad Muazzudin turut mendapat perhatian Pengerusi Sukarelawan Kanser Kedah, Zuraini Kamal yang menziarahi kanak-kanak itu di rumahnya, sekali gus menyerahkan bantuan makanan, lampin pakai buang, susu dan wang tunai.

Bagi mereka yang ingin membantu Muhammad Muazzudin, boleh menghubungi Mohd Hayat melalui telefon 017-3089673.

Berita Harian X