Isnin, 23 September 2019 | 5:54pm
Pertandingan memancing salah satu acara yang disediakan untuk orang ramai hadir menyahut cabaran Ahad ini sempena Pesta Air Malaysia Port Dickson. - Foto NSTP
Pertandingan memancing salah satu acara yang disediakan untuk orang ramai hadir menyahut cabaran Ahad ini sempena Pesta Air Malaysia Port Dickson. - Foto NSTP

Cabaran memancing terbuka PD jangka tarik 1,000 kaki pancing

PORT DICKSON: Kira-kira 1,000 kaki pancing dijangka membanjiri Pantai Cahaya Negeri, di sini, untuk menyertai cabaran memancing terbuka Port Dickson pada Sabtu ini.

Acara itu dianjurkan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sempena Pesta Air Malaysia Port Dickson yang akan berlangsung selama tiga hari.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Sembilan, Siti Mazlina Maidin, berkata juara bagi pertandingan itu bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM7,000 manakala tempat kedua dan ketiga sebanyak RM2,000 dan RM1,000.

"Hadiah wang tunai juga disediakan kepada pemenang sehingga tempat ke-50 dan ia berkonsep sapu bersih.

"Kaunter pendaftaran akan dibuka pada Jumaat ini bermula jam 3 petang hingga 9 malam di khemah urus setia di lokasi pertandingan dengan bayaran yuran penyertaan sebanyak RM50 untuk setiap joran.

"Pelbagai spesis ikan antaranya daun baru, bayan dan tetanda terdapat di pantai ini dan ia sekali gus meningkatkan lagi peluang peserta untuk bergelar juara," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, 200 peserta yang mendaftar awal akan menerima baju T daripada pihak penganjur manakala peserta bertuah berpeluang membawa pulang hadiah bonanza dia televisyen bersaiz 32 inci.

“Pantai Cahaya Ne­geri yang sinonim sebagai lokasi meman­cing diharap dapat menarik pelancong dalam dan luar negara menerusi pesta yang turut diadakan bermula 27 hingga 29 September ini di Pantai Saujana, Batu 4, Port Dickson.

"Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut me­ngenai pertandingan boleh menghubungi pihak urusetia di talian 013-2667011, 012-2846811 atau dengan melayari laman sosial Facebook: beritapancingmalaysia," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X