Selasa, 24 September 2019 | 2:14pm
Imran Amin bersama isterinya Zainun Yaakob serta lima anaknya tinggal dalam bangsal tanpa pintu hanya berdindingkan kain dan zink ketika ditemui di Kampung Baru, Pantai Mek Mas. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

7 sekeluarga tinggal dalam bangsal, tidak mampu bayar sewa

KOTA BHARU: Tujuh sekeluarga termasuk bayi berusia setahun terpaksa tinggal dalam bangsal yang hanya berdindingkan zink, kain serta kayu tanpa pintu di Kampung Baru, Pantai Mek Mas di sini.

Mereka tinggal di bangsal ihsan daripada penduduk sejak 10 hari lalu kerana tidak mampu membayar sewa rumah berikutan pendapatan ketua keluarga tidak menentu.

Keadaan tempat tinggal Imran dan keluarga di di Kampung Baru, Pantai Mek Mas. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Keadaan tempat tinggal Imran dan keluarga di di Kampung Baru, Pantai Mek Mas. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Malah, disebabkan kemiskinan, mereka hanya mampu makan nasi bersama budu atau ulam-ulaman tanpa lauk.

Ketua keluarga, Imran Amin, 59, berkata dia hanya bekerja sebagai pengamal perubatan Islam dan dibayar secara suka rela oleh pesakit.

Katanya, ada masanya dia memperoleh sekitar RM1,000 sebulan, namun ia tidak mencukupi kerana perlu mengagihkan perbelanjaan untuk belanja keperluan harian dan sewa rumah sebelum ini.

Imran Amin dan Zainun Yaakob serta lima anaknya tinggal dalam bangsal di Kampung Baru, Pantai Mek Mas. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Imran Amin dan Zainun Yaakob serta lima anaknya tinggal dalam bangsal di Kampung Baru, Pantai Mek Mas. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

“Hasil perkahwinan bersama isteri, Zainun Yaakob, 39, sejak 20 tahun, kami dikurniakan tujuh anak berusia antara setahun sehingga 19 tahun. Namun anak kedua, Mohamad Hamurraahimin Imran, 17, meninggal dunia November tahun lalu selepas menghidap penyakit buah pinggang tahap empat.

“Disebabkan kesusahan ini, tiga anak, Siti Nur Shafiqah, 16, Siti Nor Hidayah, 13, dan Mohammad Amirul, 8, terpaksa berhenti sekolah masing-masing sejak dua tahun dan setahun yang lalu.

“Sementara anak sulung, Siti Nuha Tasurun Naazirin, 19, hanya bersekolah setakat Tingkatan Satu dan kini berada di Kuala Lumpur membantu ibu rakannya menjual kuih sejak tiga bulan lalu,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Katanya, dia tidak mampu membayar yuran sekolah menyebabkan terpaksa memberhentikan anaknya.

Imran Amin dan Zainun Yaakob serta lima anak tinggal dalam bangsal di Kampung Baru, Pantai Mek Mas. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Imran Amin dan Zainun Yaakob serta lima anak tinggal dalam bangsal di Kampung Baru, Pantai Mek Mas. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

“Sebelum ini, kami sekeluarga menyewa sebuah rumah di Panchor, Kubang Kerian selama lebih 15 tahun dengan kadar RM250 sebulan sebelum berpindah ke sebuah pondok di Pasir Puteh.

“Tidak lama kemudian, kami kembali menyewa sebuah rumah di Pasir Puteh dengan RM350 sebulan selama beberapa bulan sebelum mengambil keputusan tinggal di bangsal ini kerana tidak mampu menanggungnya,” katanya.

Katanya, cuma setiap kali hujan dan ribut, dia bimbang dengan keselamatan keluarga, namun tiada pilihan kerana tidak mampu untuk mencari dan membayar sewa tempat tinggal lain.

“Buat masa ini, dia mahu mendapatkan sebuah rumah yang sempurna buat anak-anak kerana berhasrat mahu berniaga untuk mencari pendapatan buat keluarga,” katanya.

Berita Harian X