Selasa, 24 September 2019 | 5:30pm
Keadaan air di Sungai Benut yang semakin susut menyebabkan Loji Rawatan Air Simpang Renggam tidak boleh membekalkan air secara maksimum kepada kira-kira 149,550 pengguna di Simpang Renggam. - NSTP/Adnan Ibrahim

Cuaca panas, 194,730 pengguna terjejas di Johor

SIMPANG RENGGAM: Paras air di beberapa empangan dan loji rawatan air (LRA) di Johor dilaporkan masih berada pada tahap kritikal hingga catuan air terpaksa diteruskan di kawasan yang terjejas termasuk di Kluang dan Kota Tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse, berkata LRA Simpang Renggam di Kluang serta Lok Heng dan Sungai Gembut (Kota Tinggi), tidak dapat beroperasi secara normal disebabkan keadaan itu.

Beliau berkata, seramai 38,946 pemilik akaun atau dianggarkan 194,730 pengguna di sesetengah kawasan dalam kedua-dua daerah berkenaan terjejas secara langsung disebabkan langkah catuan air atau program bekalan air berjadual (BAB) sejak bulan lalu.

“BAB di kawasan Simpang Renggam di Kluang membabitkan 29,910 pemilik akaun bermula pada 2 September lalu; Lok Heng (3,790) bermula pada 14 Ogos dan Sungai Gembut (5,246) bermula pada 22 September lalu,” katanya.

Wee Tse berkata, kerajaan negeri sudah melaksanakan beberapa projek untuk mengatasi isu bekalan air di kedua-dua daerah berkenaan serta tempat lain di negeri ini.

Beliau berkata, antaranya ialah Projek Penyaluran Air Mentah PETRONAS (PAMER) dari Empangan Seluyut ke Empangan Lebam di Kota Tinggi; Projek Layang Dua (Fasa Satu) membabitkan penyaluran air dari Empangan Seluyut ke Empangan Upper Layang di Kota Tinggi; Projek Penyaluran Air Mentah Sungai Lenggor ke Empangan Congok di Mersing; dan Projek Penyaluran Air Mentah dari Empangan Kahang ke LRA Sembrong Timur di Kluang.

Katanya, selain itu, projek pembinaan tiga telaga air tanah sebagai sumber bekalan air alternatif bagi LRA Lok Heng juga sudah siap dibina pada Jun lalu.

Sementara itu, tinjauan BH di Simpang Renggam mendapati, beberapa rangkaian anak sungai yang membekalkan air kepada Sungai Benut yang menjadi sumber air utama LRA Simpang Renggam semakin surut dan hampir kering akibat cuaca panas berpanjangan.

Selain itu, Empangan Machap yang menjadi harapan terakhir membantu meningkatkan paras air di muka sauk LRA Simpang Renggam turut berada dalam keadaan kritikal malah air yang dialirkan ke Sungai Benut juga amat minimum.

Seorang pemancing yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail Ibrahim, 30, berkata tiada lagi sungai di Simpang Renggam yang boleh dijadikan tempat memancing kerana hampir semua anak sungai serta Sungai Benut sendiri sudah hampir kering dengan kedalaman maksimum hanya separas kira-kira 0.5 meter.

Katanya, jika keadaan seperti ini berterusan, tidak mustahil Sungai Benut kering sepenuhnya sekali gus menyebabkan BAB di di Simpang Renggam dilanjutkan lebih lama.

“Kebelakangan ini memang ada hujan, tetapi kita difahamkan kadarnya amat sedikit dan tidak meningkatkan paras air sungai atau empangan. Keadaan ini amat membimbangkan penduduk kerana kami tidak sanggup lagi terus berhadapan dengan catuan air.

“Walaupun (syarikat pengendali bekalan air), Ranhill SAJ membekalkan air melalui tangki statik dan lori tangki, keadaan itu tetap mengganggu kelancaran hidup masyarakat di sini, terutama peniaga dan petani,” katanya.

Seorang pekebun kecil, Rosman Razak, 55, pula terpaksa menghentikan penanaman cili sentil yang diusahakan sebelum ini kerana keadaan cuaca panas serta kekurangan air untuk digunakan menyiram tanamannya mengikut jadual.

“Sebelum ini saya mengepam air dari anak sungai berdekatan kebun namun akibat kejadian panas berpanjangan ini, sungai itu hampir kering dan saya tidak dapat menggunakannya lagi.

“Saya terpaksa menanggung kerugian dengan menghentikan sementara penanaman kerana tidak mahu pokok yang ditanam mati,” katanya.

Berita Harian X