Khamis, 26 September 2019 | 11:02am

Paras air empangan tidak meningkat, catuan air mungkin diteruskan

JOHOR BAHRU: Catuan atau bekalan air berjadual (BAB) ke kawasan Simpang Renggam dan Layang-Layang di Kluang serta Pontian Utara, Pontian yang sepatutnya berakhir 1 Oktober ini, mungkin terpaksa dilanjutkan.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse, berkata ia berikutan paras air Empangan Machap dan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam yang membekalkan air kepada ketiga-tiga kawasan terbabit masih menghampiri paras kritikal.

“Berdasarkan bacaan semasa paras Empangan Machap, pengguna yang menerima bekalan dari LRA Simpang Renggam diminta bersedia dengan kemungkinan BAB terpaksa dilanjutkan bermula 1 Oktober sehingga 31 Oktober depan tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 194,730 pengguna di Kluang, Pontian dan Kota Tinggi, terjejas akibat catuan air disebabkan penurunan paras air empangan serta LRA akibat cuaca panas berpanjangan sejak beberapa bulan lalu.

BAB di kawasan Simpang Renggam dan Pontian membabitkan 29,910 pemilik akaun atau dianggarkan 149,550 pengguna bermula pada 2 September lalu; Lok Heng (3,790 pemilik akaun atau 18, 950 pengguna) bermula pada 14 Ogos dan Sungai Gembut (5,246 pemilik akaun atau 26,230 pengguna) bermula pada 22 September lalu.

Mengulas lanjut, Wee Tse berkata, fenomena cuaca panas dan kering yang masih berterusan sejak Julai lalu, memberi kesan kepada sesetengah empangan

dan sungai yang membekalkan air mentah, malah hujan lebat di beberapa kawasan semalam tidak mencukupi untuk menaikkan paras air.

Katanya, antara empangan yang terjejas adalah Empangan Lebam, Empangan

Upper Layang, Empangan Pulai, Empangan Pontian Kechil, Empangan Labong, Empangan Machap, Empangan Sembrong dan Empangan Bekok.

Katanya, sungai yang mengalami penyusutan ketara adalah Sungai Sedili Kechil dan Sungai Gembut di Kota Tinggi.

Wee Tse berkata, Empangan Labong di Mersing juga menunjukkan bacaan menghampiri paras henti loji dan bagi memanjangkan jangka hayat air mentah, BAB mungkin akan dilaksanakan di sebahagian kawasan liputan LRA Endau, Mersing.

Katanya, paras air terkini Empangan Machap, Kluang adalah 14.17 meter (m) dengan paras kritikal (14.02m) dan paras normal (16.0m); Empangan Sungai Sedili Kechil, Kota Tinggi (0.74m) (1.0m) (2.75m); Empangan Lebam, Kota Tinggi (8.97m) (7.41m) (14.0m).

Empangan Upper Layang, Johor Bahru (20.90m) (16.0m) (26.6m); Empangan Pulai, Johor Bahru (125.28m) (116.8m) (136.0m) dan Empangan Pontian Kechil, Johor Bahru (33.48m) (30.55m) (36.52m).

Empangan Labong, Mersing (5.14m) (4.45m) (8.42m); Empangan Sembrong, Kluang (7.74m) (7.20m) (9.5m); Empangan Bekok, Batu Pahat (12.0m) (8.5m) (13.3m) dan Empangan Sungai Gembut, Kota Tinggi (-0.30m) (-1.5m) (0.7m).

Berita Harian X