Selasa, 1 Oktober 2019 | 3:42pm
MENTERI Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. NSTP/L Manimaran
MENTERI Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. NSTP/L Manimaran

Belanjawan 2020: Sarawak harap ada peruntukan lebih untuk pelancongan

PETRA JAYA: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak mengharapkan lebih banyak peruntukan disediakan untuk sektor pelancongan dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata Sarawak memerlukan peruntukan agak besar bagi meningkatkan infrastruktur pelancongan seperti menaik taraf jalan serta menyediakan kemudahan lain termasuk tandas di lokasi tumpuan pelancong.

Selain itu, beliau berkata peruntukan besar juga diperlukan untuk meningkatkan promosi lokasi menarik di negeri ini.

“Walaupun Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak berlainan aliran politik, tetapi dalam soal industri pelancongan, kita harus melaksanakannya bersama.

“Tambahan pula, Tahun Melawat Malaysia akan berlangsung tahun depan dan Sarawak sebagai salah satu destinasi pelancongan negara, perlu menyediakan pelbagai kemudahan yang lebih selesa untuk pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima Anugerah Emas PATA daripada Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) di sini, hari ini.

Kemenangan itu diraih STB pada ‘Marketing Media - Kategori Video Pelancongan dengan video bertajuk ‘Why Limit Yourself’ pada Pacific Asia Travel Association (PATA) Awards 2019 di Astana, Kazakhstan, baru-baru ini.

Abdul Karim berkata, Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian khazanah alam semula jadi menjadi antara lokasi utama tarikan eko pelancongan negara ini.

“Sebab itu, kita mengharapkan Kerajaan Persekutuan turut memberi perhatian kepada industri pelancongan di Sarawak dalam Bajet 2020,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas perbuatan lapan individu yang tidak menghormati lagu kebangsaan pada satu majlis di Kuching, yang tular di media sosial, Abdul Karim berkata, tindakan lebih tegas perlu dikenakan kepada golongan yang biadap itu.

“Jika kamu tidak berpuas hati dengan kerajaan, tidak bermakna kamu harus berlaku biadap dengan tidak menghormati lagu kebangsaan negara kamu sendiri.

“Sepatutnya hukuman lebih berat dikenakan, bukan setakat denda RM100 atau sebulan penjara, kerana kita tidak mahu perbuatan itu menjadi ikutan yang lain pula selepas ini,” katanya yang turut menuntut lapan individu terbabit memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

Berita Harian X