Selasa, 1 Oktober 2019 | 8:26pm
BAYI lelaki, Muhammad Ikhsan Abdul Hadi berusia sembilan bulan yang dilahirkan tanpa telinga dan tulang belakang bengkok turut mengalami jangkitan paru-paru sejak lahir masih ditempatkan di Hospital Tanah Merah sejak 4 September lalu untuk pemantauan daripada doktor dari semasa ke semasa. - Foto ihsan keluarga
BAYI lelaki, Muhammad Ikhsan Abdul Hadi berusia sembilan bulan yang dilahirkan tanpa telinga dan tulang belakang bengkok turut mengalami jangkitan paru-paru sejak lahir masih ditempatkan di Hospital Tanah Merah sejak 4 September lalu untuk pemantauan daripada doktor dari semasa ke semasa. - Foto ihsan keluarga

'Mohon doa pembedahan berjalan lancar'

TANAH MERAH: Bayi lelaki berusia sembilan bulan yang dilahirkan tanpa telinga dan tulang belakang bengkok, Muhammad Ikhsan Abdul Hadi, akan menjalani pembedahan pertama pada 30 Oktober ini.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu dijadualkan menjalani pembedahan telinga di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II).

Ibunya, Siti Hafsah Che Mah, 40, berkata beliau difahamkan melalui pembedahan itu nanti, doktor akan memasang alat bantuan pendengaran di telinga Muhammad Ikhsan.

“Ini kali pertama anak akan menjalani pembedahan. Justeru, saya memohon doa daripada orang ramai supaya pembedahan itu berjalan lancar.

“Muhammad Ikhsan kini berada di wad Hospital Tanah Merah (HTM) sejak 4 September lalu untuk pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi.

Siti Hafsah berkata, beliau bersyukur kerana kesihatan anaknya itu semakin menunjukkan perkembangan positif.

“Hari ini, doktor menanggalkan alat bantuan pernafasan supaya Muhammad Ikhsan boleh bernafas sendiri dan mereka akan memantau perkembangannya.

“Namun, anak masih bergantung pada susu yang diberi menggunakan tiub. Berat badannya sudah naik kepada 3.4 kilogram (kg) berbanding hanya 2kg sebelum ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Ikhsan memerlukan kira-kira RM30,000 bagi membiayai kos pembedahan dalam masa terdekat.

Bayi itu perlu menjalani pembedahan menebuk lubang telinga, selain mengalami jangkitan paru-paru sejak lahir.

Berita Harian X