Rabu, 9 Oktober 2019 | 1:43pm
NURWATEE Che Mamat bersama suami, Muhammad Johari Mansor sedia mendermakan sebahagian hati kepada anaknya, Nur Aira Batrisya Muhammad Johari yang menghidap penyakit kegagalan fungsi hati ketika ditemui, di Kampung Padang Cina, Badak, Bachok. - Foto Nor Amalina Alias

'Ambillah hati ma...'

BACHOK: Demi kasih dan sayang kepada anak yang menderita kegagalan fungsi hati, pasangan suami isteri sanggup mendermakan sebahagian daripada hati mereka.

Muhammad Johari Mansor, 29, dan Nurwatee Che Mamat, 21, dari Kampung Padang Cina, Badak di sini, sanggup melakukan apa sahaja supaya Nur Aira Batrisya yang berusia 11 bulan membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain.

“Walaupun tahu risiko yang dihadapi, saya dan suami sanggup berikan hati kami kerana mahu menyelamatkannya secepat mungkin. Kalau tunggu penderma yang sesuai, saya bimbang masa untuk Aira semakin suntuk,” kata Nurwatee kepada BH hari ini.

Aira yang disahkan menghidap penyakit ‘Acute Dicompasated Liver Failure With Hypoalbuminemia and Hyponatremia’, kini bergantung pada tujuh jenis ubat dan hanya mampu makan bijirin.

Pemindahan hati dijangka dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur dengan kos kira-kira RM90,000.

Nurwatee memberitahu ketika Aira berusia dua bulan, bayinya itu mengalami masalah pada saluran hempedu, yang menyebabkan mereka membawanya ke Klinik Kesihatan Bachok sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Aira menerima rawatan dalam wad hampir sebulan dan doktor menyarankan supaya menjalani pembedahan pemindahan hati dengan segera di China, namun mereka tidak mampu kerana pembedahan memerlukan kos kira-kira RM250,000.

“Ketika berusia sembilan bulan, perut Aira semakin membesar dan mata, wajah serta badannya bertukar warna kekuningan,” katanya yang sebak apabila menceritakan penderitaan anak keduanya itu.

Pasangan itu yang bekerja kampung, hanya mampu mengambil ubat-ubatan di klinik kerajaan untuk anaknya itu yang kemudiannya terpaksa dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu pada bulan lalu akibat masalah pernafasan.

Doktor kemudian memaklumkan anaknya itu perlu menjalani pemindahan hati di PPUM.

“Pada 29 Oktober ini, saya dan suami akan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pemeriksaan hati kami sama ada sesuai atau tidak untuk didermakan.

“Walaupun tahu risiko yang dihadapi, saya dan suami sanggup berikan hati kami,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak, Nur Wardina Jasmin, 3.

Kisah sedih Aira tersebar selepas penderitaannya dikongsi penduduk kampungnya, Wan Nurhidayu Wan Mat, dalam laman Facebooknya, Ayu Hidayu sehingga mendapat 1,200 perkongsian.

Berita Harian X