Rabu, 9 Oktober 2019 | 6:33pm
PENDUDUK kampung Bantal, Ulu Tembeling, Hadi Mat Shah menjemur biji getah yang telah dibuang kulit sebelum dijadikan asam rong satu masakan tradisional, di Jerantut. - Foto Roselan Ab Malek

Biji getah jadi rebutan penduduk kampung

JERANTUT: Kalau di sesetengah negeri, biji getah yang gugur mungkin tidak dipedulikan atau dianggap tidak boleh digunakan, namun berbeza bagi penduduk di Kampung Bantal, dekat Ulu Tembeling, di sini.

Kebanyakan penduduk menjadikan biji getah antara sumber pendapatan sampingan yang lumayan kerana boleh digunakan dalam masakan tradisional terkenal Pahang, gulai asam rong.

Seorang penduduk kampung di sini, Hadi Mat Shah, 62, berkata mengutip biji getah adalah antara aktiviti sampingan selepas menoreh.

Biji getah itu diproses untuk dijadikan asam rong yang juga bahan penting untuk memasak gulai asam rong yang terkenal di daerah Jerantut.

“Biji getah yang dikutip itu dibasuh sebelum kita pecahkan kulitnya.

“Kemudian kita ambil isinya yang berwarna putih dan dijemur antara lima hingga enam hari,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Isi getah itu kemudian ditumbuk hingga hancur, dan selepas itu diramas bagi mengeluarkan minyak biji getah.

“Kalau minyak tidak dikeluarkan asam rong akan kurang sedap dan berbau tengik bila simpan lama, tetapi jika betul-betul kering ia boleh tahan lama, mungkin boleh sampai bertahun kalau disimpan dalam bekas kedap udara,” katanya.

Hadi berkata, asam rong yang siap diproses boleh dijual pada harga antara RM30 hingga RM35 sekilogram.

Asam rong sangat sedap dimasak bersama ikan sungai, khususnya ikan kenerak, toman, patinatau siput sedut.

“Untuk menjadikan masakan gulai asam rong lebih sedap, kita boleh campur pucuk paku, pucuk labu, terung pipit, keladi, dan ubi keledek,” katanya.

“Selain gulai, asam rong boleh dibuat sambal rong bakar dengan cara ditampal pada tudung periuk dan dibakar menggunakan api yang kecil sehingga garing,” kata Hadi lagi.

Berita Harian X