Rabu, 9 Oktober 2019 | 9:36pm
Redzuan Yusof, 36, dari Kampung Bukit Tumbuh bersama lembu sado jenis baka limosin yang dijualnya dengan harga RM14,300. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli

Pancar Delima dijual pada harga RM14,300

KUALA NERUS: Usaha seorang penternak menggunakan kesemua wang simpannya membeli seekor lembu sado baka limosin pada harga RM6,000 berhasil apabila mampu memperoleh pulangan berganda dalam tempoh 11 bulan.

Lembu itu berjaya dijual pada harga RM14,300 selepas mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Lembu Sado sempena Himpunan Lembu Sado Pantai Timur di Jabi, di sini baru-baru ini.

Diberi nama Pancar Delima, lembu berkenaan yang memiliki berat 684 kilogram dibeli secara tunai oleh seorang penternak dari Bachok, Kelantan.

Redzuan Yusof, 36, dari Kampung Bukit Tumbuh, berkata lembu berkenaan dibeli menggunakan wang simpanannya pada Disember lalu untuk diternak.

“Jika diikutkan hati, memang saya sayang untuk menjualnya, lebih-lebih lagi apabila Pancar Delima meraih tempat pertama pada pertandingan lembu sado terbesar pernah dianjurkan di Pantai Timur.

“Saya sendiri tidak menjangka Pancar Delima berjaya mengalahkan lebih 30 ekor lembu baka lain pada pertandingan yang pertama kali disertai itu, sekali gus Pancar Delima menjadi lembu yang mempunyai nilai tinggi.

“Bagaimanapun kerana kesungguhan dan tawaran harga yangberpatutan diberikan pembeli, saya nekad menjualnya walaupun berasa sayang dan masih belum puas menjaganya,” katanya.

Menurutnya, dia yang baru saja menceburi bidang penternakan lembu sado selain turut membela dua ekor kerbau akan memanfaatkan wang berkenaan untuk menambah bilangan haiwan ternakannya.

Beliau bercadang menggunakan wang hasil jualan Pancar Delima untuk membeli anak lembu baka limosin yang lain.

“Tidak rugi kita membelanjakan wang simpanan untuk membeli lembu baka ini kerana akhirnya, haiwan itu boleh dijual pada harga berlipat ganda berbanding harga asal jika penternak menjaga lembu itu dengan sebaik mungkin.

“Lebih RM250 sebulan diperuntukkan bagi memastikan keperluan makanan dan ubat-ubatan Pancar Delima mencukupi. Dalam bidang penternakan lembu sado ini, makanan ialah perkara yang paling penting selain faktor kebersihan di dalam kandang.

“Jika lembu mendapat bekalan makanan yang mencukupi, ternakan akan membesar dengan baik dan sihat,” katanya yang berkerja sebagai pemandu lori.

Redzuan berkata, lembu kesayangan itu mampu mencapai berat satu tan pada usia matang dan boleh dijual dengan harga RM20,000 ke atas dalam tempoh 12 bulan akan datang.

“Saya dalam proses untuk membeli dua ekor lembu jenis sama dalam masa terdekat bagi menggantikan Pancar Delima itu.

“Membazir sekiranya wangjualan lembu itu digunakan untuk membuat perkara lain selain membeli lembu,” katanya.

Berita Harian X