Khamis, 10 Oktober 2019 | 11:46am
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan seorang lelaki membawa keluar tiga unit mesin permainan judi disyaki cuba diseludup melalui Jeti Penumpang Pelabuhan Tawau, di Tawau. - Foto ihsan APMM

Cubaan seludup mesin judi tumpas

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan seorang lelaki warga Indonesia membawa keluar tiga unit mesin judi bernilai RM56,000 melalui Jeti Penumpang Pelabuhan Tawau, di sini semalam.

Suspek yang juga berusia 50 tahun bersama juragan bot penumpang berkenaan ditahan ditahan anggota bot peronda Maritim Malaysia selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika menuju masuk ke Sungai Melayu, Pulau Sebatik kira-kira jam 8 pagi.

Timbalan Pengarah Zon Operasi Maritim Malaysia Tawau, Komander Mohd Yusri Hussin, berkata hasil pemeriksaan turut mendapati juragan bot penumpang itu mengemukakan dokumen pengenalan diri, termasuk pasport yang meragukan.

“Hasil pemeriksaan lanjut kemudian membawa kepada penemuan tiga unit mesin permainan judi ‘wukong’ dalam bot berkenaan yang disyaki cuba diseludup ke luar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata, suspek kemudiannya ditahan sebelum diiring masuk ke jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana melanggar syarat sah lesen bot.

“Maritim Malaysia akan terus mempergiat tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam memastikan sebatang bentuk perlanggaran undang-undang di laut dapat dibanteras,” katanya.

Katanya, orang ramai boleh menylurkan sebarang aduan atau maklumat melalui talian hotline Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau, 089-752115 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999.

Berita Harian X