Khamis, 10 Oktober 2019 | 12:53pm

Maritim Malaysia tahan teksi air Indonesia di perairan Kota Tinggi

JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tanjung Sedili menahan sebuah bot kayu tanpa tanda nama yang lebih dikenali sebagai ‘teksi air’ dari Indonesia di Perairan Johor Timur, dekat Kota Tinggi, petang semalam.

Pengarahnya, Mohd Zulfadli Nayan, berkata bot berkenaan ditahan pada jam 2.40 petang di kedudukan dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop oleh bot ronda Maritim Malaysia kerana dilihat bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Dua lelaki warga Indonesia berumur 16 dan 47 tahun ditahan bersama bot kayu tanpa penumpang dan akan disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zulfadli berkata, penahanan dibuat sebagai langkah pencegahan kejadian curi dan rompak membabitkan bot kayu jenis sama.

Katanya, penahanan juga dilakukan bagi menguatkuasakan Pekeliling Pelabuhan N0 67/2017 yang mengehadkan bot asing menjalankan perkhidmatan dalam Had Pelabuhan.

“Pengusaha kapal dinasihatkan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa supaya sebarang kejadian tidak diingini dapat ditangani lebih efektif.

“Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan dan sentiasa mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan perairan negara terus selamat, ” katanya.

Berita Harian X