Khamis, 10 Oktober 2019 | 3:21pm
Pelbagai acara menarik disusun mulai esok bagi meraikan hari ulang tahun kelahiran Abdul Taib yang ke-83.

Abdul Taib sambut hari jadi di tempat kelahiran

MIRI: Sambutan hari jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud kali ini lebih bermakna apabila ia diadakan di tempat kelahirannya di bandar raya ini.

Pelbagai acara menarik disusun mulai esok bagi meraikan hari ulang tahun kelahiran rasmi yang ke-83, pemimpin disegani itu.

Sambutan dimulakan dengan majlis kesyukuran yang akan disertai pemimpin dan kenamaan negeri, termasuk Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg di Masjid Darul Ehsan, Piasau pada jam 6 petang esok, kemudiannya disusuli dengan majlis makan malam.

Pada Sabtu, seramai 5,000 peserta daripada 106 kontinjen yang terdiri pelbagai agensi kerajaan, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan, unit beruniform dan institusi pengajian tinggi akan menyertai perbarisan di Stadium Miri, bermula jam 8 pagi.

Lebih 15,000 penduduk Miri dijangka menghadiri perbarisan itu yang akan turut dimeriahkan dengan lintas hormat udara oleh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Hornbill Skyways.

Tamat perbarisan itu, Abdul Taib akan menghadiri majlis penyampaian bintang dan pingat kebesaran negeri yang akan diadakan di Hotel Mega.

Sambutan kemudiannya diteruskan dengan Konsert Rakyat yang menampilkan penyanyi terkenal tanahair, Faizal Tahir serta penyanyi tempatan antaranya Ricky Andrewson, Melissa Francis, Bibi-yanti dan Siti Hajar.

Keesokannya, Abdul Taib dijadual menghadiri majlis jamuan teh di Kelab Gymkhana Miri, seterusnya menyampaikan sumbangan kebajikan kepada golongan yang kurang bernasib baik sebelum melancarkan Pameran Dirgahayu di Pustaka Miri.

Berita Harian X