Sabtu, 12 Oktober 2019 | 5:21pm
Gambar fail, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen, Datuk Seri Fadillah Yusof. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Gambar fail, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen, Datuk Seri Fadillah Yusof. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Peruntukan tidak seimbang antara Sabah, Sarawak - Fadillah

KUCHING: Belanjawan 2020 dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, semalam, disifatkan gagal memenuhi janji manifesto Pakatan Harapan (PH) kepada rakyat Sarawak.

Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata belanjawan itu ada kekurangan kerana pengagihan peruntukan tidak seimbang antara negeri ini dengan Sabah.

Dua negeri terbabit menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM9.6 bilion, namun ia hanya meliputi 17.1 peratus daripada keseluruhan dana pembangunan dalam Belanjawan 2020 dengan Sarawak memperoleh RM4.4 bilion, manakala Sabah pula RM5.2 bilion.

“Manifesto PH menjanjikan 30 peratus dana pembangunan akan diagih kepada Sarawak dan Sabah tetapi kenapa hanya 17.1 peratus diperuntukkan dalam Belanjawan 2020?

“Selain itu, Sarawak terus menerima peruntukan jauh lebih kecil berbanding Sabah, sedangkan Sarawak adalah negeri terbesar dengan keluasan hampir menyamai Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya mendakwa pengagihan peruntukan kepada Sarawak dan Sabah itu tidak adil, sekali gus menyebabkan hasrat merapatkan jurang pembangunan antara dua negeri berkenaan dengan Semenanjung tidak akan dapat dicapai dalam masa terdekat.

“Kerajaan PH sendiri tidak mampu menunaikan apa yang sudah dijanjikan dalam manifesto kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan perincian projek membaik pulih sekolah daif tidak disebut dalam belanjawan itu, sedangkan Kerajaan Sarawak sudah menyelesaikan bayaran awal RM350 juta untuk sejumlah RM1 bilion sebagai kontra.

“Kita mahu projek menaik taraf dan membina semula sekolah daif di negeri ini dipercepatkan untuk menjamin kebajikan anak-anak serta guru,” katanya.

Fadillah berkata, Belanjawan 2020 juga tidak menyentuh janji manifesto PH Sarawak untuk memulangkan 50 peratus cukai yang dikutip di negeri ini.

Malah, beliau menganggap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak dihormati apabila Menteri Kewangan menyentuh mengenai semakan semula geran untuk Sarawak dan Sabah mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Kita menyambut baik hasrat Kerajaan Persekutuan menaikkan geran kepada Sarawak dan Sabah, namun adakah ia sudah dibincang, diperinci dan diluluskan pada peringkat Jawatankuasa Teknikal yang ditubuhkan?

“Perkara seperti itu perlu dibincangkan pada peringkat Jawatankuasa Teknikal kerana kadar pemberian khas diterima Sarawak hanya RM64 juta sedangkan Sabah memperoleh RM106.8 juta,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X