Ahad, 13 Oktober 2019 | 3:38pm
Jin Zhe (tiga dari kanan) merasmikan larian 100PLUS Aktifkan Malaysiaku di Pantai Tanjung Aru 2, Kota Kinabalu, hari ini. - NSTP/Rafiqah Dahali

Peruntukan bantu tingkatkan pembangunan sukan di Sabah

KOTA KINABALU: Belanjawan 2020 yang memperuntukkan RM299 juta bagi pelaksanaan program sukan untuk semua termasuk memulih dan menaik taraf kemudahan sukan negara diyakini dapat meningkatkan pembangunan sukan di negeri ini.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe, berkata pihaknya sudah mengemukakan senarai permintaan kepada Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan sukan di negeri ini.

“Pihak saya juga sudah mengemukakan senarai permintaan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan beberapa fasiliti sukan di Sabah.

“Antara fasiliti yang saya tekankan untuk ditingkatkan adalah pembinaan gelanggang di setiap kampung dan taman perumahan, selain meningkatkan lagi taraf fasiliti Kompleks Sukan Likas.

“Saya juga melihat keperluan untuk membina stadium tertutup yang baharu dan juga beberapa gelanggang sukan canggih bertaraf antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan larian 100PLUS Aktifkan Malaysiaku di Pantai Tanjung Aru 2 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Celestinus Lawanding dan Pengarah Operasi Komersial Domestik (Malaysia Timur dan Brunei) F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Byran Lee.

Jin Zhe turut menjelaskan, pihaknya sudah membuat perancangan menjadikan sukan elektronik (e-sport) sebagai sukan pertunjukan dalam Sukan Sabah ( SAGA ) kelak.

“Ini akan menjadi titik permulaan usaha untuk pihak saya menjejaki bakat muda Sabah yang terpendam supaya mereka boleh mewakili negara dalam bidang sukan e-sport.

“Pihak saya turut difahamkan ada tiga orang atlet e-sport yang akan mewakili Malaysia ke Sukan SEA. Ini menunjukkan Sabah mempunyai bakat dalam e-sport walaupun sebelum ini bidang berkenaan kurang diberi perhatian,” katanya.

Tambah beliau, sukan berkenaan berpotensi meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi di Sabah sekiranya dilaksanakan.

“Sukan e-sport ini bukan saja dilihat dari segi peningkatan pembangunan sukan, malah berpotensi meningkatkan sektor pelancongan di Sabah.

“Sebagai contoh, jika kita dapat menganjurkan program pertandingan e-sport bertaraf antarabangsa seperti The International Dota 2 Championships, kita mampu menarik perhatian lebih 10,000 pelancong ke Sabah,” katanya.

Berita Harian X