Isnin, 14 Oktober 2019 | 11:32am

Jurulatih Penyu dijangka diketahui esok

KUALA TERENGGANU: Siapakah yang bakal mengisi kerusi panas ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) dalam kancah Liga Malaysia musim depan? Adakah pemangku ketua jurulatih skuad itu ketika ini, Nafuzi Zain akan terus diberi kepercayaan atau bakal ada wajah baru diberi mandat?

Inilah persoalan yang timbul dalam kalangan peminat setia skuad itu selepas ia tular menerusi media sosial sejak beberapa hari lalu dengan mengaitkan Nafuzi dijangka diberi kepercayaan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk terus menerajui pasukan musim depan.

Teka teka itu bagaimanapun dijangka terjawab apabila PBSNT bakal mengadakan kongresnya di sini, esok bagi persiapan skuad Penyu musim depan.

Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim ketika diajukan persoalan itu enggan mengulas lebih lanjut sebaliknya menyerahkan kepada Presiden PBSNT, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk mengumumkan perkara itu esok.

"Kita bercadang nak umumkan secara rasmi senarai barisan kejurulatihan skuad TFC selepas kongres nanti. Yang tular itu adalah bayangan, tapi yang pasti pemilihan jurulatih akan mengambil kira semua faktor kerana kita mahu objektifnya tercapai," katanya.

Nafuzi memangku jawatan ketua jurulatih TFC musim ini selepas peletakan jawatan secara mengejut Irfan Bakti Abu Salim selaku jurulatih pada 15 Mei lalu.

Selain Nafuzi, antara nama lain yang sebelum ini disebut-sebut bakal menggalas tugas ketua jurulatih TFC adalah bekas pengendali T-Team, Rahmad Darmawan di samping Tomislav Steinbruckner, Azlan Johar dan Ismail Zakaria.

Dalam pada itu, pengisian jawatan penolong jurulatih turut tular dengan heboh ia bakal diisi bekas pemain negeri yang juga pengendali pasukan Piala Belia Terengganu, Subri Sulong yang membantu skuad itu menjulang trofi piala itu musim ini.

Bagi jawatan ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II) pula, penolong jurulatih TFC II musim ini, Roshadi Wahab disebut-sebut akan dinaikkan sebagai ketua jurulatih dan bakal bergandingan dengan bekas penyerang Terengganu, Sapian Wahid dan Md Noor Derus.

Berita Harian X