Selasa, 15 Oktober 2019 | 2:39pm
Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

SPRM masih bincang letak pegawai di Pejabat Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Satu perbincangan akan diadakan Jumaat ini antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan Setiausaha Kerajaan Negeri mengenai cadangan menempatkan pegawai SPRM di Pejabat Ketua Menteri.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy berkata, perbincangan itu diadakan untuk mengambil langkah seterusnya bagi pelaksanaan cadangan itu.

“Perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ibu Pejabat (SPRM), kerana ini membabitkan struktur, waran perjawatan dan sebagainya, jadi perlu bawa berbincang dulu,” katanya pada media selepas melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas berhubung perkembangan cadangan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya bulan lali yang menawarkan penempatan seorang pegawai kanan di Pejabat Ketua Menteri.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa penempatan pegawai SPRM hanya diletakkan di Pejabat Ketua Menteri, dan bukannya di semua jabatan kerajaan negeri.

“Sebenarnya tempoh hari adalah mengenai penempatan seorang Pegawai SPRM di Pejabat Ketua Menteri, bukan di jabatan.

“Di bawah Jabatan Ketua Menteri sudah ada pun di Unit Integriti di mana ada seorang pegawai ditempatkan,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung kunjungan hormat itu, beliau berkata ia lebih kepada perbincangan berkaitan program pencegahan rasuah untuk mendidik masyarakat dan penjawat awam di Sabah.

“Ia selaras dengan apa yang termaktub dengan Pelan Antirasuah Nasional (NACP), di mana kita mendidik masyarakat untuk bersama-sama mencegah rasuah.

“Jadi, Ketua Menteri amat positif dengan program pencegahan yang akan dilaksanakan,” katanya.

Berita Harian X