Selasa, 22 Oktober 2019 | 2:41pm
Ibu bapa kepada Puteri Nurardiana Damia Qaisara, Anisah Razali, 28, dan suaminya Cecep Saepuloh, 30, ketika ditemui NSTP, di kediaman mereka di Kampung Baru Laut, di Kampung Baru Laut, Bintulu. - NSTP/Erika George

Kehilangan Damia masih dalam siasatan - Dev Kumar

BINTULU: Polis Sarawak memberi jaminan kes kehilangan kanak-kanak perempuan, Puteri Nurardiana Damia Qaisara Abdullah, 6, akan diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata walaupun tiada sebarang petunjuk kanak-kanak akan ditemui selepas hampir tiga minggu hilang dari rumahnya di Kampung Baru Laut, di sini, proses siasatan masih diteruskan.

“Kita masih meneruskan siasatan walaupun usaha mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak itu sudah dihentikan oleh agensi berkaitan.

“Atas keprihatinan terhadap nasib kanak-kanak itu, saya mengadakan lawatan ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu bagi mendapatkan perkembangan terkini siasatan kes sebelum menziarahi keluarga mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dev ketika mengulas lanjut, berkata polis sedang berusaha mendapatkan petunjuk baharu dalam membantu merungkai misteri kehilangan kanak-kanak itu.

“Kita akan memperhebatkan siasatan sehingga petunjuk baharu ditemui dan membuahkan hasil. Polis Diraja Malaysia (PDRM) cukup memahami perasaan ibu bapa dan keluarga mangsa yang meletakkan harapan penuh kepada kita untuk menyiasat kes itu,” katanya.

Dev Kumar (kiri) meninjau lokasi terakhir Puteri Nurardiana Damia Qaisara dilihat berhampiran Sungai Kemena sebelum dikatakan terjatuh dan dibawa arus. - NSTP/Erika George
Dev Kumar (kiri) meninjau lokasi terakhir Puteri Nurardiana Damia Qaisara dilihat berhampiran Sungai Kemena sebelum dikatakan terjatuh dan dibawa arus. - NSTP/Erika George

Dev turut meluangkan masa meninjau lokasi terakhir kanak-kanak itu dilihat berhampiran Sungai Kemena sebelum dikatakan terjatuh dan dibawa arus.

Dalam kejadian pada 28 September lalu, mangsa didapati hilang oleh ibu bapanya di rumah mereka, dengan siasatan awal mengesyaki mangsa kemungkinan terjatuh ke dalam Sungai Kemena.

Berita Harian X