Khamis, 24 Oktober 2019 | 1:58pm
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse. - Foto Hairul Anuar Rahim
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse. - Foto Hairul Anuar Rahim

Catuan air empat daerah Johor ditamatkan Sabtu ini

JOHOR BAHRU: Catuan air atau bekalan air berjadual membabitkan empat daerah di negeri ini akan ditamatkan Sabtu ini, berikutan peningkatan paras air sungai dan empangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse, berkata bekalan air berjadual itu membabitkan daerah Kota Tinggi, Kluang, Pontian dan Mersing.

“Musim hujan yang bermula sejak beberapa minggu lalu diharapkan dapat membantu meningkatkan paras empangan dan sungai yang terjejas.

“Bagaimanapun, pengguna dinasihatkan merancang penggunaan air dengan berhemah memandangkan paras semasa empangan dan sungai belum stabil dan mencapai paras normal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Wee Tse berkata, Sungai Gembut yang membekalkan air mentah kepada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gembut merekodkan bacaan paras semasa 0.22 meter berbanding paras normal 0.77 meter, kelmarin.

Katanya, Sungai Sedili Kecil yang membekalkan air mentah kepada LRA Lok Heng pula, merekodkan bacaan paras semasa 1.53 meter berbanding paras normal 2.75 meter.

“Empangan Machap yang membekalkan air kepada LRA Simpang Renggam merekodkan bacaan 14.38 meter berbanding paras normal 16 meter paras normal.

“Empangan Labong yang membekalkan air mentah kepada LRA Endau mencatatkan bacaan 5.07 meter berbanding paras normal 8.42 meter,” katanya.

Berita Harian X