Jumaat, 25 Oktober 2019 | 4:41pm
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. - NSTP/Aizuddin Saad

Pembangunan Sri Aman tidak dipinggirkan - Abang Johari

SRI AMAN: Kerajaan Sarawak akan memastikan kawasan Sri Aman tidak lagi dipinggirkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) antara tahun 2021 hingga 2025 ini.

Ini kerana kerajaan negeri sedang melaksana beberapa projek pembangunan yang bakal menjadikan Sri Aman sebagai sebuah kawasan strategik dalam tempoh itu.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata, beliau yakin Sri Aman boleh menjadi kawasan strategik kerana kerajaan kini sedang giat melaksanakan projek pembinaan Jalan Utama Kedua dan Jalan Pesisir.

“Ia ditambah lagi dengan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo pada masa sekarang. Apabila ketiga-tiga projek ini selesai, Sri Aman tidak lagi menjadi kawasan yang dipinggirkan oleh orang luar,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Pesta Benak Sri Aman edisi ke-8 yang berlangsung di Pentas Astaka Regatta Tebingan Batang Lupar di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan dua berita baik untuk penduduk Sri Aman, iaitu pembinaan dewan suarah baharu dan Jambatan Batang Lupar Kedua di kawasan ini.

“Mengenai kemudahan dewan suarah, saya dimaklum projek asalnya adalah menaik taraf dewan suarah yang lama untuk menjadi lebih besar dengan kos sebanyak RM7 juta.

“Bagaimanapun apabila difikirkan kembali maka adalah lebih baik kita membina sebuah lagi dewan suarah yang baharu dengan projek itu nanti akan diumum dalam RMK12 kelak,” katanya.

Bagi Jambatan Batang Lupar Kedua, Abang Johari berkata, ia akan dibina di kawasan Kampung Hilir dengan tender projek itu kelak akan dikeluarkan pada hujung tahun ini.

Beliau yakin projek ini nanti akan dapat menyambungkan Simanggang ke lain-lain kawasan dengan bandar ini kembali menjadi lokasi persinggahan orang luar pada masa akan datang.

“Dalam konteks ini, hanya Gabungan Parti Sarawak (GPS) sahaja yang dapat menjaga Sarawak kerana orang luar tidak tahu cara hidup orang kita apatah lagi mahu mentadbir negeri ini.

“Mereka hanya tahu datang untuk memecah belah perpaduan yang teguh di Sarawak. Sekejap datang negeri ini untuk memecah belahkan perpaduan hidup kita dan selepas itu pulang,” katanya lagi.

Justeru, beliau berharap agar penduduk dapat terus berdiri teguh di belakang GPS dan menantikan khabar baik yang bakal diumumkan oleh beliau menerusi Belanjawan Sarawak 2020 pada 4 November ini.

“Saya belum mahu mendedahkan kandungan belanjawan negeri kita untuk tahun depan. Tapi yang pastinya Belanjawan Sarawak 2020 lebih baik berbanding Belanjawan Malaysia 2020,” katanya.

Berita Harian X