Ahad, 27 Oktober 2019 | 9:50pm
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersalaman dengan orang ramai di Dewan Orang Masyarakat Sungai Maong, Kuching. - NSTP/Hazreen Mohamad
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersalaman dengan orang ramai di Dewan Orang Masyarakat Sungai Maong, Kuching. - NSTP/Hazreen Mohamad

Rahsia penubuhan MPKK akhirnya terdedah

KUCHING: Penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) tidak lebih dari sekadar strategi Pakatan Harapan (PH) dalam usaha menguasai Sarawak dalam pilihan raya negeri akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata rahsia matlamat penubuhan majlis itu akhirnya terdedah oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada satu acara dihadirinya di Bandaraya Miri hari ini.

Justeru, beliau meminta rakyat negeri ini agar mengabaikan penubuhan organisasi baharu yang dirancangkan Kerajaan Persekutuan itu.

“Rahsia MPKK ditubuhkan kini sudah terdedah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penutupan Fiesta Satok di Dewan Masyarakat Sungai Maong, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Guan Eng pada Majlis Perasmian Konvensyen DAP Sarawak di Bandaraya Miri, hari ini yang mengakui penubuhan MPKK antara senjata untuk menguasai negeri ini dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12).

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, mulai tahun depan, MPKK yang membabitkan hampir 6,000 rumah panjang serta kampung di Sarawak akan menerima peruntukan kewangan yang sewajarnya bagi memantapkan organisasi itu.

Malah, penubuhan organisasi itu juga bagi memudahkan penyaluran peruntukan kewangan dari Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan pelbagai projek di luar bandar, selain membentuk barisan pemimpin akar umbi jika PH berjaya membentuk kerajaan negeri selepas PRN-12.

Sementara, Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam ucapannya mengingatkan rakyat negeri ini bahawa jika kerajaan negeri bertukar selepas PRN-12, kerajaan baharu akan melakukan pelbagai perubahan, termasuk meminda Kanun Tanah.

“Mereka tahu Sarawak mempunyai rizab yang besar...itulah sebabnya mereka bersungguh-sungguh mahu menguasai negeri ini,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X