Isnin, 28 Oktober 2019 | 10:01am
NOR Harlizam Mamat mengukus ubi kayu parut ketika ditemui di kedai makannya, di Kampung Bunut Sarang Burung. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Ubi tonyoh menu musim tengkujuh

TUMPAT: Selain putu halba, satu lagi makanan tradisional yang laris di negeri ini menjelang musim tengkujuh iaitu ubi kayu parut atau lebih dikenali sebagai ubi tonyoh.

Ubi kayu yang diparut sebelum dikukus dan dinikmati bersama taburan gula pasir serta kelapa muda parut sangat enak dimakan terutama ketika masih panas.

Pengusahanya, Nor Harlizam Mamat, 35, berkata juadah itu sudah diminta oleh beberapa pelanggan tetapnya sejak dua minggu lalu walaupun belum tiba lagi musim hujan.

“Memandangkan permintaan pelanggan yang kerap bertanyakan juadah ini, saya mula membuatnya sejak seminggu lalu dan memulakannya dengan 30 kilogram (kg) ubi kayu.

“Setiap hari, jualan memang habis dan terpaksa menambahkan kuantiti ubi kayu dari sehari ke sehari dan sehingga hari ini sebanyak 50 kg ubi kayu digunakan,” katanya ketika ditemui di kedai makannya di Kampung Bunut Sarang Burung, di sini.

Nor Harlizam berkata, dia mula berniaga ubi tonyoh sejak tahun lalu iaitu hanya di musim tengkujuh dengan dibantu suaminya, Wan Zahari Wan Othman, 51.

Dijual dengan harga RM3 satu bekas, Nor Harlizam berkata, ubi kayu itu perlu dikukus selama 40 minit sebelum dihidangkan kepada pelanggan yang bertali arus datang ke kedainya.

“Pelanggan tahun ini semakin ramai tambahan pula dengan hebahan yang saya buat menerusi media sosial menyebabkan ramai juga yang meminta dibuat penghantaran.

“Suami akan menghantar kepada pelanggan di sekitar Tumpat, Kota Bharu dan paling jauh adalah Pasir Mas,” katanya.

Seorang pelanggan, Nooraiddah Abdull Suki, 39, berkata, dia sebelum ini tidak pernah tahu mengenai ubi tonyoh dan ternampak perkongsian rakan menerusi Facebook sebelum ke premis Nor Harlizam untuk mencuba menu musim tengkujuh itu.

“Sekali cuba, saya terus sukakan juadah ini dan sudah beberapa kali datang ke kedai ini untuk menikmati ubi tonyoh selain membungkus beberapa bekas untuk dimakan di rumah,” katanya.

Berita Harian X