Isnin, 28 Oktober 2019 | 2:00pm
MARIAM Said yang uzur terpaksa jaga anak perempuan bongsu yang lumpuh selepas diserang angin ahmar, Hasmah Yunus di Kampung Dabong sejak enam bulan lalu. - Foto Ramli Ibrahim

Kasih ibu sepanjang hayat...

KUALA KRAI: Kasih ibu tidak ada bandingan.

Itulah yang dilakukan oleh Mariam Said, 80, dari Kampung Dabong, di sini, yang menjaga anaknya perempuannya yang berusia 59 tahun yang lumpuh diserang angin ahmar di rumah mereka.

Ujian hidup Mariam bermula enam bulan lalu apabila anak bongsunya itu, Hasmah Yunus, yang juga ibu tunggal enam anak diserang angin ahmar.

Bagaimanapun, hanya seorang anak Hasmah yang tinggal dengan mereka manakala yang lain sudah berkahwin dan tinggal luar Kelantan.

Katanya, kini hanya seorang cucu iaitu anak bongsu Hasmah tinggal bersamanya tetapi sibuk dengan urusan perniagaan di kedai makan.

“Hanya waktu siang mak cik menguruskan Hasmah termasuk memberi susu menerusi tiub disediakan sebanyak empat kali sehari.

“Waktu malam, cucu mak cik pula menjaga ibu dia termasuk membersihkan badan dan menjaga keperluan lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Katanya, sebagai seorang ibu, dia tetap tabah menghadapi ujian itu memandangkan dia tidak mempunyai sebarang tanggungjawab lain dan sepenuh masa berada di rumah.

“Mak cik bersyukur kerana masih mampu menjaga Hasmah walaupun keadaan kesihatan tidak mengizinkan ketika usia tua,” katanya.

Katanya, anaknya itu menghidapi pelbagai penyakit kronik termasuk darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang sehingga terpaksa menerima rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK).

“Hasmah ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM250 sebulan untuk membeli susu dan lampin pakai buang,” katanya.

Berita Harian X