Rabu, 30 Oktober 2019 | 8:58am
ANGGOTA bomba berusaha membawa keluar mangsa banjir ke tempat selamat di Kampung Banggol Sertang, Sungai Limau. - Foto ihsan bomba
ANGGOTA bomba berusaha membawa keluar mangsa banjir ke tempat selamat di Kampung Banggol Sertang, Sungai Limau. - Foto ihsan bomba

Baling banjir kali kelima bulan ini

BALING: Seramai 24 mangsa membabitkan tujuh keluarga di Kampung Banggol Sertang, Sungai Limau, di sini terpaksa berpindah lagi apabila kediaman mereka dinaiki air sedalam satu meter, malam tadi.

Kejadian sekitar jam 10 malam itu menjadikan banjir kali kelima dalam tempoh sebulan di daerah ini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Baling, Shamsul Izrin Isahak, berkata hujan lebat berterusan sejak jam 4 petang semalam menyebabkan air Sungai Limau melimpah ke rumah penduduk.

Beliau berkata, mangsa dipindahkan oleh anggota penyelamat pada jam 10 malam ke pusat pemindahan sementara (PPS) Surau Datuk Raja Ariffin Kampung Banggol Sertang, Sungai Limau.

“Air naik dengan cepat ke rumah penduduk menyebabkan ada mangsa yang tidak sempat keluar dan terpaksa mendapat bantuan daripada anggota penyelamat.

“Langkah awal mangsa diarah berpindah dengan segera kerana air semakin naik dan bimbang kejadian buruk berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, mangsa, Zainab Ahmad, 40, berkata air masuk dalam rumahnya sekitar jam 8 malam.

“Dalam tempoh sebulan tiga kali rumah saya terjejas dengan banjir dan tiga kali juga saya terpaksa berpindah.

“Saya tidak larat lagi membersih rumah walaupun baru sahaja mencucinya, barangan seperti perabot serta perkakas elektrik habis rosak dan tidak boleh digunakan lagi,” katanya.

Berita Harian X