Sabtu, 2 November 2019 | 4:36pm
LOKMAN bersama koleksi pelbagai barangan vintaj sempena Sukan Olimpik Los Angeles 1984 yang dikumpulnya. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli

Tak kisah dianggap membazir kumpul koleksi vintaj

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga barangan terpakai tidak berasa hati apabila ramai kenalan menganggap hobinya mengumpul koleksi vintaj keluaran Sukan Olimpik Los Angeles 1984 sejak sembilan tahun lalu sebagai membazir.

Ini kerana bagi Lokman Alias, 36, dari Kampung Tok Molor di sini, barangan vintaj berkenaan akan lebih bernilai tinggi jika disimpan lebih lama sekali gus boleh dijual dengan harga yang berlipat kali ganda daripada sekarang.

“Jadi saya tidak kisah guna duit simpanan dan duit hasil keuntungan berniaga untuk membeli lebih banyak koleksi itu di eBay kerana ia boleh dijual semula pada bila-bila masa,” katanya.

Ketika ini Lokman memiliki lebih 250 barangan seperti topi, tuala, seluar, nota, kad ucapan dan baju selain barangan cenderamata keluaran sempena Sukan Olimpik Los Angeles 1984 yang berharga antara RM100 hingga RM1,000 setiap satu.

Lokman mendapatkan koleksi berkenaan di kedai-kedai terpakai di seluruh negeri termasuk ke Thailand bagi mengumpul barangan yang diminati.

“Bagaimanapun apabila menyedari pembelian atas talian seperti di eBay lebih memberi banyak pilihan, saya menghabiskan lebih RM12,000 membeli sebahagian koleksi yang ada sekarang.

“Memang ada kenalan tidak bersetuju dengan minat saya yang dianggap membazir tetapi saya berpendapat sebaliknya dengan menganggap ia satu pelaburan jangka panjang,” katanya.

Lokman taasub dengan barangan keluaran Olimpik 1984 kerana sukan berprestij itu ditaja pelbagai syarikat gergasi terkenal Amerika Syarikat seperti Levis, McDonald’s, Coca-Cola dan Adidas pada tahun berkenaan.

Barangan keluaran edisi Olimpik 1984 sangat menarik berbanding barangan keluaran edisi berikutnya sekali gus menjadi antara sebab ia sentiasa diburu pengumpul barangan lama.

Minat Lokman disokong isterinya, Salihah Hassan, 29. Malah wanita itu turut mendorong suaminya supaya mengumpul lebih banyak koleksi.

“Hobi suami itu bukan pembaziran kerana semua koleksi itu boleh dijual semula pada bila-bila masa.

“Jika kami memerlukan wang, suami hanya muat naik gambar koleksi yang ada di media sosial untuk dijual dan ia akan terus dibeli pelanggan,” katanya.

Berita Harian X