Ahad, 3 November 2019 | 11:13am
SEBAHAGIAN bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu/Daro yang juga kumpulan perintis 1972-1977 berhimpun buat kali pertama di sebuah hotel.
SEBAHAGIAN bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu/Daro yang juga kumpulan perintis 1972-1977 berhimpun buat kali pertama di sebuah hotel.

Bekas pelajar SMK Matu-Daro berhimpun selepas terpisah 40 tahun

SIBU: Kira-kira 130 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu/Daro yang juga kumpulan perintis 1972-1977 berhimpun buat kali pertama di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Pelbagai acara menarik diadakan termasuk persembahan video yang memaparkan gambar individu pelajar dulu dan sekarang, termasuk gambar bersama keluarga, karaoke, deklamasi sajak dan tarian poco-poco selain cabutan tiket bertuah.

Suasana meriah kerana kebanyakan mereka tidak bertemu lebih 40 tahun selepas menamatkan pengajian tingkatan tiga di sekolah itu yang kini dikenali sebagai SMK Matu.

Kebanyakan bekas pelajar yang sesetengahnya sudah bersara, bekerja di merata tempat walaupun berasal dari kampung sekitar daerah Matu dan Daro.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi yang juga bekas pelajar kumpulan sama adalah Penaung Majlis Malem Pedun Anyin SMK Matu/Daro 1972-1979 iaitu dalam bahasa Melanau yang bermaksud 'Malam Berkumpul Kumpulan SMK Matu/Daro 1972-1979'.

Semua hadiah untuk cabutan bertuah adalah sumbangan bekas pelajar sendiri selain sumbangan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Abu Seman Jahwie.

Ahmad Johnie dalam ucapannya antara lain mencadangkan majlis diadakan sekurang-kurangnya dua tahun sekali dan Kuching menjadi tuan rumah untuk pertemuan 2021.

Katanya, majlis bertujuan mengeratkan hubungan sesama bekas pelajar dan keluarga mereka, untuk saling mengenali setelah lebih 40 tahun terpisah.

"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ahli jawatankuasa pengelola majlis ini kerana bekerja keras mencari dan mengumpul bekas pelajar hingga menghimpunkan sebahagian besar kumpulan 1972-1977 untuk hadir pada majlis ini," katanya.

Pada majlis itu, kutipan derma kilat diadakan untuk membantu kos pembedahan bayi berusia sebulan yang menghidap usus bocor sejak lahir, kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor sejak 3 Oktober lalu.

Anak kepada Ahmad Nazren Morni yang berasal dari Daro dan isterinya, Rostina Bahrin, itu memerlukan bantuan kewangan untuk pembedahan buat kali kedua bayi mereka yang dijangka bulan depan.

Sejumlah RM1,610 sumbangan dikutip pada majlis itu.

Berita Harian X