Isnin, 4 November 2019 | 12:23pm
PENDUDUK Kampung Aring 5 melihat tangki tadahan air bukit yang dimusnahkan gajah. - Foto ihsan pembaca
PENDUDUK Kampung Aring 5 melihat tangki tadahan air bukit yang dimusnahkan gajah. - Foto ihsan pembaca

Gajah rosakkan tangki air

GUA MUSANG: Seramai 300 penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Aring 5 di sini sekali lagi berdepan ancaman gajah yang merosakkan tiga tangki tadahan air bukit, malam tadi.

Dalam serangan bermula jam 8 malam hingga 5 pagi itu, dipercayai tujuh gajah liar itu turut memusnahkan paip air dan tanaman milik penduduk.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Guru Agama Islam Orang Asli, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Kampung Aring 5, Mohd Fadzli Mahmok, berkata serangan gajah bermula jam 8 malam tadi memusnahkan tiga tangki tadahan bukit dan paip saluran air ke rumah penduduk menyebabkan bekalan air terputus.

“Kami ke lokasi tadahan air bukit itu dan terkejut melihat kerosakan begitu teruk dan akan mengambil masa untuk dibaik pulih

“Penduduk berharap pihak berkaitan bantu selesai masalah kami di sini,” katanya.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA) Kampung Aring 5, Asrul Hussin, 31, pula berkata, masalah ancaman gajah liar itu kerap berlaku pada tahun ini.

“Sebelum ini gajah berkenaan hanya memusnahkan tanaman penduduk tetapi kali kemudahan air bukit pula. Sudah dua malam berturut-turut gajah memasuki kampung hingga menimbul kebimbangan dalam kalangan penduduk.

“Kita juga sudah merujuk masalah itu kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk tindakan lanjut, termasuk membaik pulih tangki yang rosak dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAKOA Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima aduan berhubung perkara itu.

“Kita akan menyiasat perkara itu termasuk mengumpul maklumat berkaitan serangan gajah dan kos membaik pulih kemudahan tadahan air bukit yang rosak,” katanya.

Berita Harian X