Rabu, 6 November 2019 | 8:44am
Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustafa Long (dua dari kanan) meninjau keadaan 56 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Aur Gading yang terpaksa belajar di Balai Orang Ramai Aur Gading berikutan jalan menuju ke sekolah dinaiki air selepas hujan lebat berterusan sejak kelmarin. - Foto Roselan Ab Malek
Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustafa Long (dua dari kanan) meninjau keadaan 56 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Aur Gading yang terpaksa belajar di Balai Orang Ramai Aur Gading berikutan jalan menuju ke sekolah dinaiki air selepas hujan lebat berterusan sejak kelmarin. - Foto Roselan Ab Malek

JKM Pahang lakukan sembilan latihan hadapi banjir

KUANTAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang berjaya mengadakan sembilan simulasi pusat pemindahan bencana komuniti (ECCcom) peringkat negeri sebagai persediaan menghadapi bencana banjir tahun ini.

Pengarahnya, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, latihan bermula awal bulan lalu itu membabitkan sembilan daerah bermula di Pekan, Maran, Kuantan, Cameron Highlands, Raub, Lipis, Jerantut, Bera dan Rompin.

Hanya dua daerah lagi yang belum mengadakan simulasi berkenaan, iaitu Temerloh dan Bentong, tetapi dijangka melakukannya pada 10 dan 16 November ini.

Setiap sesi latihan disertai antara 70 hingga 100 peserta terdiri daripada ketua dan jawatankuasa pusat pemindahan, penghulu, ketua kampung, sukarelawan, kakitangan JKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia

(APM), Polis Diraja Makaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan, Pejabat Daerah dan Tanah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Tujuan utama simulasi ECCcom diadakan ialah bagi menjelaskan peranan dan tanggungjawab jawatankuasa pusat pemindahan di peringkat komuniti selain mengeratkan lagi hubungan dikalangan mereka yang terbabit.

“Menerusi latihan berkenaan semua pihak dapat berkongsi kemahiran dan mengenal pasti kaedah baharu selain dapat meningkatkan lagi kecekapan,” kata Zulkhairi, di sini hari ini.

Beliau berkata, simulasi yang diadakan seolah keadaan sebenar berlaku di pusat pemindahan banjir, bermula pendaftaran mangsa, agihan bantuan, penempatan khemah, penyediaan makanan, khidmat kaunseling, pemeriksaan kesihatan dan pemindahan.

Katanya, beliau berpuas hati kejayaan simulasi ECCcom, dan kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak boleh dibanggakan.

“JKM dan agensi berkaitan akan berusaha memberi perkhidmatan yang terbaik kepada mangsa sepanjang mereka berada di pusat pemindahan banjir namun bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak.

“Pengalaman mengikuti simulasi diharap dapat mengatasi setiap masalah yang dihadapi sepanjang pusat pemindahan banjir dibuka,” katanya.

Berita Harian X