Rabu, 6 November 2019 | 12:25pm
KETUA Menteri Pulau Pinang yang juga Ahli Undangan Negeri Padang Kota, Chow Kon Yeow. NSTP/Ramdzan Masiam.
KETUA Menteri Pulau Pinang yang juga Ahli Undangan Negeri Padang Kota, Chow Kon Yeow. NSTP/Ramdzan Masiam.

Laluan bawah tanah atasi masalah kesesakan

GEORGETOWN: Pembinaan laluan bawah tanah menghubungkan Jalan Mount Erskine ke Jalan Burma perlu bagi mengatasi masalah kesesakan teruk di kawasan terbabit.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pembangunan ekonomi di situ akan terbantut jika projek itu tidak dilaksanakan, sekali gus menyebabkan pengguna berdepan kesesakan berterusan di persimpangan Jalan Gotlieb, Jalan Bagan Jermal, Jalan Burma dan Jalan Mount Erskine.

Katanya, selain mengatasi kesesakan, projek itu juga dijangka mewujudkan 10,000 unit perumahan baru di kawasan Jalan Mount Erskine, Jalan Fettes dan Jalan Lembah Permai selepas projek itu siap pada 2024, berdasarkan Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA) pada 2015.

“Selain itu, bilangan kenderaan turut dianggarkan bertambah pada kadar 4.15 peratus setiap tahun di kawasan Pulau Tikus.

“Dengan ini, bilangan kenderaan harian dijangka bertambah sebanyak 85,000 unit pada tahun 2024 di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Lee Chun Kit (PH-Pulau Tikus) mengenai kesan trafik sekiranya projek pembinaan laluan bawah tanah itu tidak dilaksanakan.

Kon Yeow (PH-Padang Kota) berkata dasar kerajaan negeri adalah memastikan lot tanah terjejas dalam proses pengambilan tanah untuk projek infrastruktur mendapat pampasan adil.

Sehubungan itu, jelas beliau, pentadbir tanah bertanggungjawab melakukan siasatan bagi mendapatkan nilaian tanah dalam menentukan kadar pampasan berikutan pengambilan tanah berkenaan, selaras peruntukan di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah 1960.

“Nilaian tanah yang diguna pakai adalah berdasarkan nilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) iaitu mengikut harga pasaran.

“Namun, jika pemilik tanah tidak berpuas hati dengan kadar pampasan yang ditawarkan, mereka berhak membuat bantahan di mahkamah,” katanya.

Berita Harian X