Khamis, 7 November 2019 | 3:28pm

Pelajar cipta Tbag atasi penggunaan plastik

PASIR PUTEH: Bermodalkan hanya baju-T terpakai, sekumpulan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil, di sini menjadi ‘adiwira’ alam sekitar apabila mencipta Tbag menggantikan beg plastik.

Idea unik itu dizahirkan pelajar, Muhamad Amjad Ismail; Muhammad Alif Asyraf Mazlan; Wan Muhammad Amar Wan Hassan dan Muhammad Hariz Iskandar Muhd Faiz bagi pertandingan menyelamatkan alam sekitar anjuran Toyota Eco Youth 2019.

Muhammad Amjad yang juga ketua kumpulan, berkata idea unik itu dibuat selepas melihat penggunaan plastik yang berleluasa dalam kalangan masyarakat terutamanya ketika membeli-belah.

Pelajar SMK Kamil cipta Tbag dari baju-t terpakai menggantikan penggunaan beg plastik bagi mengisi barang. - NSTP/Nor Amalina Alias

Katanya, Tbag dibuat seratus peratus menggunakan pakaian terpakai yang digunting, diikat menyerupai beg dan senang dibawa ke mana-mana.

“Pada awalnya kami menyahut cabaran pihak Toyota menyertai pertandingan ini, namun dengan kewangan yang terhad dan sekolah luar bandar, kami sepakat menampilkan projek yang tidak mengeluarkan kos.

“Lebih menarik Tbag memaksimumkan promosi menyelamatkan alam sekitar melalui dua fungsi iaitu menggantikan plastik dan menggunakan bahan kitar semula,” katanya ketika ditemui di SMK Kamil di sini, hari ini.

Hasil projek itu kumpulannya berjaya menjadi enam pasukan terpilih ke saringan akhir daripada 60 pasukan dari sekolah menengah seluruh Malaysia yang bertanding pada 20 hingga 22 Julai lalu di Putrajaya dan mendapat dana RM2,000 bagi menjayakan projek sebelum ke pusingan akhir 13 dan 14 November ini.

Muhammad Amjad berkata, cara membuat Tbag hanya menggunakan baju terpakai dan siap kurang lima minit untuk diubah sebagai beg sandang atau beg bimbit bagi mengisi barang seperti kegunaan beg plastik.

Katanya, pasukannya turut menjayakan promosi menyelamat alam sekitar dengan memberi pendedahan cara membuat dan menggunakan beg mesra alam itu di sekitar pasar raya, sekolah dan penduduk kawasan Pasir Puteh.

“Kami jalankan kaji selidik, promosi di Instagram tentang cara membuat Tbag, pertunjukan fesyen, kempen kesedaran dan lebih membanggakan sejak diperkenal kepada masyarakat kami terima lebih 500 Tbag yang dibuat pelajar sekolah rendah dan menengah,” katanya.

Guru penasihat kumpulan itu, Mohamad Shahrilniza Mohd Nor, berkata Tbag berfungsi menyelamatkan alam sekitar kerana bahan baju-T terurai lebih cepat berbanding plastik yang memerlukan puluhan tahun untuk terurai.

“Cara membuatnya juga sangat senang dan jimat kerana hanya perlu cari pakaian terpakai berbanding membeli beg mesra alam sekitar yang dicaj RM2 hingga RM6 di pasar raya.

“Jadi matlamat untuk kita didik masyarakat supaya prihatin lebih cepat diterima kerana baju-T sudah menjadi pakaian harian, kita hanya ambil dan maksimum penggunaannya supaya dapat sama-sama memelihara alam sekitar,” katanya.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil, Mohd Razak Che Yaakob (dua dari kanan) melihat hasil projek Tbag ciptaan pelajar SMK Kamil, Pasir Puteh. - NSTP/Nor Amalina Alias
Berita Harian X