Jumaat, 8 November 2019 | 10:31am

Tempias 2 taufan: Pulau Pinang bersiap sedia

GEORGETOWN: Pulau Pinang dijangka mengalami hujan lebat dan ribut petir bermula hari ini sehingga Ahad, susulan tempias Taufan Nakri dan Taufan Matmo.

EXCO Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh, berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan, selain bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Pulau Pinang berada di tengah-tengah antara Taufan Matmo yang diramalkan melanda Myanmar serta Bangladesh hari ini, dan Taufan Nakri yang dijangka memberi kesan kepada Vietnam esok.

“Kedua-dua taufan itu dijangka mewujudkan anomali (penyimpangan daripada jenis atau bentuk yang lazim) di negeri ini dan siri hujan lebat serta ribut petir juga dijangka berlaku hari ini sehingga Ahad,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri juga sudah menubuhkan pasukan Skuad Khas dan Respon untuk berada dalam keadaan bersiap sedia termasuk peralatan, kenderaan, logistik serta tenaga manusia.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Moktar, berkata pihaknya sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga sepanjang masa, selain turut bekerjasama dengan komuniti jawatankuasa bencana di semua peringkat.

“Kita sentiasa menerima maklumat daripada pihak-pihak berkaitan, malah JBPM di semua negeri turut dalam keadaan bersedia sekiranya JBPM Pulau Pinang memerlukan bantuan tambahan.

“Kita tidak mempunyai sasaran kawasan yang dijangka terjejas kerana kita bersiap sedia di semua tempat,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengurusan Krisis di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), berkata setakat jam 8 pagi tadi, kedua-dua taufan itu sudah membentuk taufan Kategori 1 dan sedang bergerak pada kelajuan 120 kilometer sejam (km/j) dengan tiupan angin 145km/j.

Katanya, kedua-dua taufan juga sedang bergerak menuju ke negara-negara terbabit dan keadaan itu akan menyebabkan Pulau Pinang mengalami keadaan berangin pada kelajuan antara 25km/j ke 35km/j.

“Formasi awan juga akan berubah dan Pulau Pinang dijangka dilanda hujan sepanjang hari pada hari ini,” katanya.

Berita Harian X