Jumaat, 8 November 2019 | 8:23pm
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. - NSTP/Ramdzan Masiam

Kerajaan negeri jangka tanggung operasi defisit LRT

GEORGETOWN: Kerajaan negeri akan menanggung perbelanjaan operasi defisit bagi jajaran transit aliran ringan (LRT), pada peringkat awal pengoperasian sistem pengangkutan awam itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata kerajaan negeri juga akan mengkaji dan meneliti model operasi pengangkutan awam yang lestari dan model pembiayaan yang sesuai bagi perbelanjaan modal (CAPEX) dan perbelanjaan operasi (OPEX).

“Model transit yang berjaya seperti di Singapura bergantung kepada sokongan kerajaan untuk menyelenggara dan menaik taraf aset pengangkutan awam.

“Perkhidmatan kereta api adalah perkhidmatan awam, di mana modal perbelanjaan harus ditanggung oleh kerajaan,” katanya pada Sesi Penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, sistem LRT di Pulau Pinang akan diwujudkan dalam satu pelan pembangunan yang berorientasikan pengangkutan untuk memastikan hasil kutipannya boleh menampung kos operasi, selain dari penjualan tiket.

Katanya, unjuran penumpang LRT sebanyak 42 juta adalah selaras dengan matlamat kerajaan negeri untuk mencapai nisbah moda 40:60 bagi penggunaan pengangkutan awam dan kenderaan persendirian, menjelang 2030.

“Matlamat ini akan tercapai sekiranya langkah-langkah sewajarnya diperkenalkan semasa operasi dalam menggalakkan penggunaan pengangkutan awam,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk tidak meneruskan bayaran bagi Program Pelajar Emas di bawah Program i-Sejahtera pada tahun ini.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira golongan sasar terbabit yang sudah menerima bantuan daripada Kerajaan Pusat.

“Berdasarkan kajian yang dilakukan, kerajaan negeri mendapati bayaran Program Pelajar Emas adalah bertindih dengan bantuan yang diterima daripada Pusat iaitu Bantuan Awal Persekolahan, Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Termiskin (KWAPM), dan Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT),” katanya.

Untuk rekod, Program Pelajar Emas adalah program bantuan RM100 yang diberikan kepada murid terpilih tahun satu dan empat untuk sekolah rendah, dan tingkatan satu dan empat untuk sekolah menengah di Pulau Pinang.

Berita Harian X