Jumaat, 8 November 2019 | 9:46pm
Anggota APM melakukan operasi memindahkan mangsa yang terjejas akibat banjir di Membakut. - Ihsan APM
Anggota APM melakukan operasi memindahkan mangsa yang terjejas akibat banjir di Membakut. - Ihsan APM

Mangsa banjir di Membakut meningkat

MEMBAKUT: Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Selagon, meningkat kepada 46 orang.

Operasi memindahkan mangsa membabitkan 15 keluarga itu dilakukan berikutan paras air Sungai Membakut meningkat ke paras bahaya sehingga petang tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Beaufort, Leftenan Mayroof Koibil, berkata mangsa yang dipindahkan membabitkan penduduk dari Kampung Baitam, Kampung Jambatan Baru dan Kampung Baru.

“Seramai 46 penduduk dipindahkan ke PPS Selagon sejaktengah hari berikutan air mulai naik di kawasan rumah penduduk terbabit.

“Selain itu, sebanyak 11 kampung dikenal pasti terjejas iaitu Kampung Bambangan, Kampung Sinoko, Kampung Sindok, Kampung Lumantak, Kampung Baitam Laut dan Kampung Baitam Ulu.

“Turut terjejas Kampung Jambatan Baru, Kampung Kayai dan Kampung Papas, Kampung Baitam dan Kampung Baru,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pihaknya akan terus memantau dan memindahkan penduduk yang terjejas akibat banjir.

Terdahulu, sebelum ini seramai 19 penduduk dipindahkan ke PPS terbabit.

Berita Harian X