Isnin, 11 November 2019 | 8:16am
MANGSA Maimun Omar melihat keadaan rumahnya yang musnah selepas dilanda angin kencang di Kampung Temai Hilir. - Foto Mohd Rafi Mamat
MANGSA Maimun Omar melihat keadaan rumahnya yang musnah selepas dilanda angin kencang di Kampung Temai Hilir. - Foto Mohd Rafi Mamat

Rumah pusaka rosak akibat ribut

PEKAN: Seorang wanita warga emas hanya mampu menangis melihat rumah pusaka keluarganya yang berusia lebih 50 tahun di Kampung Temai Hilir, di sini rosak susulan kejadian ribut petang kelmarin.

Surirumah, Maimun Omar, 57, berkata dalam tempoh hanya 15 minit, bahagian bumbung dan dinding rumah berkenaan tercabut, seterusnya diterbangkan angin kencang.

“Dalam kejadian jam 5.45 petang itu, berlaku hujan lebat dan tiupan angin agak kuat. Ini menyebabkan saya ketakutan dan terus bergegas ke rumah adik yang terletak bersebelahan.

“Tergamam saya melihat dinding dan bumbung rumah terkopak serta diterbangkan angin. Ia kejadian pertama seumpamanya berlaku di kawasan ini,” katanya ketika ditemui, di sini.

MANGSA Maimun Omar melihat keadaan rumahnya yang musnah selepas dilanda angin kencang di Kampung Temai Hilir. - Foto Mohd Rafi Mamat
MANGSA Maimun Omar melihat keadaan rumahnya yang musnah selepas dilanda angin kencang di Kampung Temai Hilir. - Foto Mohd Rafi Mamat

Katanya, selepas keadaan beransur reda, dia pulang ke rumah dan mendapati bahagian dalam rumah basah, dengan beberapa barangan turut rosak.

“Ini adalah rumah pusaka peninggalan orang tua saya. Sedih melihat keadaan rumah begini,” katanya yang tinggal berseorangan di rumah berkenaan.

Maimun berkata, dia hanya menjual sayur secara kecil-kecilan untuk menyara hidupnya, malah dengan pendapatan tidak menentu, mustahil untuk membaiki kerosakan rumah yang dianggarkan mencecah RM10,000.

“Selain NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selain bantuan dari Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), saya turut menerima bantuan kit bencana berbentuk barangan keperluan harian daripada APM (Angkatan Pertahanan Awam).

“Terima kasih juga kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang sudi membantu membaiki kerosakan rumah saya,” katanya.

Penduduk, Nyaros Awang, 71, berkata, dia kerugian RM5,000 apabila sebahagian atap zink rumahnya musnah ditimpa pokok kelapa yang tumbang.

"Ini kali pertama saya berhadapan detik cemas dan mendebarkan sejak menetap di kampung ini, tidak mungkin saya dapat melupakan kejadian yang menakutkan itu.

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana kejadian itu tidak mendatangkan kecederaan kepadanya dan ahli keluarga yang lain," katanya.

Berita Harian X