Jumaat, 15 November 2019 | 2:46pm

MPPD tangkap 110 anjing liar

PORT DICKSON: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menangkap 110 ekor anjing liar dalam operasi selama 10 hari yang berakhir semalam.

Yang Dipertua MPPD, Mohd Zamri Mohd Esa, berkata tindakan itu selepas pihaknya menerima 217 aduan daripada orang awam mengenai kehadiran haiwan itu di daerah ini sepanjang tahun ini.

“MPPD memandang serius masalah anjing liar terutama di kawasan bandar Port Dickson dan diharap operasi yang diadakan ini dapat mengawal isu ini.

“Selain itu, operasi ini juga diharap dapat mengurangkan kehadiran anjing liar yang mengganggu penduduk,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zamri berkata, lokasi anjing liar itu ditangkap termasuk di Linggi, Taman Politeknik, Klinik Desa Telok Kemang, Pasar Besar Baru Port Dickson, Bandar Sunggala, Rumah Rakyat Telok Kemang, Pantai Saujana, Pantai Bagan Pinang dan Bandar Springhill.

Katanya, operasi seperti itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengurangkan kehadiran anjing liar terutama di kawasan taman perumahan.

“Orang ramai boleh terus mengadu kepada MPPD jika di kawasan mereka terdapat anjing liar yang berkeliaran dan mengganggu penduduk,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X