Ahad, 17 November 2019 | 4:43pm
PBT diminta lakukan pemantauan lebih kerap dan menangkap anjing liar yang berkeliaran. - NSTP/Mohd Khidir Zakaria
PBT diminta lakukan pemantauan lebih kerap dan menangkap anjing liar yang berkeliaran. - NSTP/Mohd Khidir Zakaria

PBT diminta pantau, tangkap anjing liar

PORT DICKSON: Pihak Sekolah Agama Rakyat (SAR) Haji Awaludin menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan pemantauan lebih kerap dan menangkap anjing liar yang berkeliaran di kawasan sekolah itu.

Pengerusi SAR Haji Awaludin, Muhadzir Mahamor, berkata ia bagi mengelak kejadian pelajar diserang anjing seperti yang menimpa anak muridnya kelmarin, tidak berulang.

“Biasanya ada antara empat hingga lima anjing berkeliaran di kawasan sekolah ini, malah murid dan guru sering dikejar anjing ketika berada di kawasan ini.

“Pihak pengurusan sekolah ada membuat aduan kepada PBT untuk mengambil tindakan segera, tetapi kami dimaklumkan tiada unit menangkap anjing dapat dihantar.

“Justeru, kami harap ada pihak swasta memiliki unit menangkap anjing liar itu demi keselamatan pelajar dan guru,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Kelmarin, seorang kanak-kanak berusia enam tahun cedera di leher dan tangan selepas digigit anjing liar ketika menunggu kelas dibuka.

Susulan kejadian jam 2.20 petang di Jalan Batu 7 di Teluk Kemang itu, mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, Muhadzir berkata, mangsa dikatakan duduk di depan kelas sebelum dikejar beberapa anjing yang berada di pondok wakaf di hujung bangunan berkenaan.

“Saya sudah menghantar permohonan kepada Majlis Agama Islam Port Dickson untuk menutup awal sesi persekolahan tahun ini dengan harapan PBT akan melakukan kerja menangkap anjing liar di kawasan berkenaan.

“Saya berharap permohonan membina pagar di keliling sekolah ini segera diluluskan bagi menjaga kawasan sekolah daripada diceroboh haiwan liar,” katanya.

Berita Harian X