Jumaat, 22 November 2019 | 3:04pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berucap pada sesi penggulungan Belanjawan Pahang 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang
MENTERI Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berucap pada sesi penggulungan Belanjawan Pahang 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang

Kerajaan Pahang tolak usaha wujudkan MPKKP

KUANTAN: Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, bertegas menolak sebarang cadangan atau usaha Kerajaan Persekutuan memperkenalkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP).

Beliau berkata, tiada asas bagi Kerajaan Persekutuan menggantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sedia ada yang sudah beroperasi dengan lancar sejak diperkenalkan pada Oktober lalu.

“Jika dahulu kita ada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), namun selepas itu mereka (Kerajaan Persekutuan) minta kita (negeri pembangkang) buat MPKK dan itu yang kita lakukan.

“Sekarang kita ada 542 MPKK di seluruh Pahang dan ini sudah dipersetujui dengan membabitkan wakil daripada Pakatan Harapan (PH), namun sehingga kini, mereka (PH) tidak memberikan cadangan nama bagi dilantik sebagai MPKK.

“Beberapa hari lalu, saya ada dengar mereka (Kerajaan Persekutuan) memutuskan untuk meneruskan cadangan (penubuhan) MPKKP...kerajaan negeri tegas dalam hal ini dan kita akan memperkenalkan semula JKKK pada Januari depan jika penubuhan (MPKKP) ini diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan Pahang 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri sudah menyediakan peruntukan RM6 juta bagi mengaktifkan semula JKKK di Pahang.

Katanya, peruntukan itu adalah bagi memastikan pengurusan di peringkat kampung berjalan lancar, sekiranya hasrat Kerajaan Persekutuan menggantikan MPKK dengan MPKKP diteruskan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X