Selasa, 26 November 2019 | 12:30pm

5,000 pelarian Rohingya di Melaka

AYER KEROH: Dianggarkan 5,000 pelarian Rohingya menetap di Melaka, kata Ketua Menteri, Adly Zahari.

Jumlah itu berdasarkan maklumat diterima daripada Majlis Rohingya Malaysia (MRM) Melaka dan hanya 2,139 pelarian etnik itu berdaftar dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Adly berkata, tidak semua pelarian Rohingya di Melaka berdaftar dengan UNHCR.

“MRM Melaka bergerak dari rumah ke rumah untuk mengumpul data pelarian dan mewakili masyarakat Rohingya untuk berurusan dengan pihak kerajaan termasuk agensi antarabangsa,” katanya pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-14, di sini, hari ini.

Adly (PH-Bukit Katil) menjawab soalan lisan Damian Yeo Shen Li (PH-Duyong) berhubung jumlah berdaftar pelarian Rohingya di Melaka dan langkah yang diambil oleh kerajaan negeri bagi menangani masalah sosial dalam kalangan pelarian seperti masalah kebersihan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut bercadang untuk mewujudkan kawasan berkelompok khusus untuk pelarian Rohingya di Tanjung Minyak pada masa depan sebagai antara langkah menangani masalah sosial dalam kalangan masyarakat berkenaan.

Selain itu, pihaknya juga mahu memperincikan sukatan pelajaran khas bagi anak pelarian Rohingya termasuk dalam akademik, keagamaan serta kemahiran asas sesuai dalam Artikel 22 Konvensyen Pelarian 1951.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Wong Fort Pin (PH-Bemban) yang bertanyakan mengenai faedah perubatan serta kemudahan dinikmati pelarian Rohingya, Adly berkata sebarang faedah perubatan atau kemudahan lain adalah atas faktor status pelarian.

“Berdasarkan pengalaman saya pada program Hari Bertemu Rakyat, saya ada juga menerima kunjungan dalam kalangan pelarian Rohingya.

“Kerajaan negeri juga sedang mengenal pasti sektor pekerjaan bersesuaian untuk ditawarkan dalam usaha membantu masyarakat itu meneruskan kehidupan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil merangkap Ketua Menteri, Adly Zahari (kanan) menjawab pertanyaan lisan pada hari ketiga ketika berlangsungnya Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil merangkap Ketua Menteri, Adly Zahari (kanan) menjawab pertanyaan lisan pada hari ketiga ketika berlangsungnya Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X