Jumaat, 29 November 2019 | 2:35pm
Penduduk menyusun zink yang tercabut akibat angin kencang di Kampung Forest, di Sandakan. Gambar kecil, Penduduk, Alein Bari, 33, menunjukkan luka pada kepala akibat terkena serpihan kaca dalam kejadian angin kencang di Kampung Forest, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
Penduduk menyusun zink yang tercabut akibat angin kencang di Kampung Forest, di Sandakan. Gambar kecil, Penduduk, Alein Bari, 33, menunjukkan luka pada kepala akibat terkena serpihan kaca dalam kejadian angin kencang di Kampung Forest, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Angin kencang punca lima jahitan di kepala

SANDAKAN: “Syukur kerana cuma saya yang cedera. Anak-anak semua selamat.”

Alein Bari, 33, ibu kepada tujuh anak, menerima lima jahitan di kepala akibat terkena serpihan cermin tingkap selepas angin kencang melanda penempatan atas air Kampung Forest di sini, petang semalam.

Dalam kejadian itu, sebanyak 32 rumah yang dihuni hampir 100 penduduk dan sebuah surau terjejas apabila atap diterbangkan angin.

Alein bergegas membawa semua anaknya berusia dua hingga 15 tahun berkumpul di ruang tamu rumah sebaik angin kencang melanda kira-kira jam 4 petang.

“Ini kali pertama angin kuat seperti ini berlaku. Beberapa tahun lalu ada juga kejadian air pasang besar yang menyebabkan beberapa rumah penduduk di bahagian laut roboh.

“Sebahagian atap rumah saya tercabut tapi kami sudah baiki,” katanya.

Jirannya, Connie Rumaisyah Akiji, 27, sekeluarga terpaksa menumpang tidur di surau bersebelahan rumah kerana hampir seluruh atap rumah tercabut.

“Angin kencang melanda kira-kira 30 minit. Jika lebih lama, mungkin lebih banyak rumah penduduk yang rosak,” katanya yang sudah lebih 25 tahun menetap di perkampungan itu.

Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Elopura, Jason Pang, yang turut melawat rumah penduduk menjelaskan, selain peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, pihaknya akan berusaha mendapatkan bantuan kementerian berkaitan bagi membantu penduduk terjejas.

“Kita ada meminta Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menyalurkan bantuan membeli zink dan papan bagi membaiki rumah yang rosak,” katanya.

Berita Harian X