Isnin, 2 Disember 2019 | 9:03pm
Peserta Konvoi Dakwah ke perkampungan orang asli Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak berkumpul di perkarangan Masjid Jamek Sultan Hishamuddin Sabak Bernam. - NSTP/Mohd Shukor Mohd Amin

Misi dakwah ke Kuala Mu menyantuni masyarakat Orang Asli

SABAK BERNAM: Seramai 50 peserta konvoi ke perkampungan Orang Asli Kuala Mu, Sungai Siput, Perak, tekad memenuhi misi dakwah kepada 400 penduduk selain menjalankan khidmat masyarakat di situ.

Peserta misi dakwah selama dua hari satu malam itu, yang terdiri daripada pemuda dan belia dari sekitar pekan Sabak Bernam, menaiki 40 buah motosikal pelbagai jenis dan tiga buah van serta kenderaan pacuan empat roda.

Pengarah program, Ibnu Sina Juwaini, berkata misi itu dipenuhi kegiatan seperti gotong-royong membersihkan surau, tanah perkuburan, memasang papan tanda di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bersah Pos Kuala Mu serta jamuan bersama kira-kira 400 penduduk Islam dan bukan Islam.

“Kami juga ada membawa sumbangan barangan dapur seperti beras, gula, tepung, susu, bihun dan minyak masak untuk diserahkan kepada 40 keluarga Islam di sana,” katanya.

Ibnu yang juga Penolong Pengurus Masjid Jamek Sultan Hishamudin Pekan Sabak Bernam, berkata konvoi dakwah itu anjuran bersama Masjid Jamek Sultan Hishamudin dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Sabak Bernam.

Mereka turut membawa sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) Daerah Sabak Bernam dan hasil kutipan daripada peserta konvoi sendiri.

“Konvoi dakwah ini diharap dapat menyebarkan keindahan Islam kepada penduduk bukan Islam di perkampungan Orang Asli selain mendidik peserta konvoi mengikuti imam bagi mempraktikkan solat jamak dan qasar dengan cara yang betul,” katanya.

Menurut Ibnu Sina, peserta konvoi juga berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi di perkampungan Orang Asli itu selain boleh mandi sungai dan memancing ikan bagi mengeratkan silaturahim sesama mereka.

Sementara itu, peserta konvoi dakwah, Mohammad Zaini Saari, 48, berkata, beliau teruja menyertai konvoi dakwah itu kerana ia bukan saja riadah santai yang menyeronokkan, malah berfaedah serta dapat memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

“Perjalanan menunggang motosikal sejauh 168 kilometer ini pasti menyeronokkan dan selamat kerana dipimpin oleh ilmuwan agama yang amat menitikberatkan disiplin serta nilai amalan keagamaan yang dituntut,” katanya.

Mohamad Zaini juga berharap program konvoi dakwah itu dapat diadakan lebih kerap lagi dengan membabitkan tempat-tempat lain termasuk menyertai misi bantuan kepada mangsa banjir di Pantai Timur.

Berita Harian X