Rabu, 4 Disember 2019 | 2:38pm

Struktur rumah dibina di tanah rizab sungai dirobohkan

SUNGAI BULOH: Lebih 40 struktur rumah yang dibina di tanah rizab sungai di Kampung Paya Jaras Hilir, di sini, dirobohkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling, hari ini.

Operasi perobohan pada jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari membabitkan lebih 50 pegawai dan anggota pelbagai agensi, termasuk polis, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Seorang daripada penghuni rumah yang dirobohkan, Komari Islan, 55, berkata dia mengambil inisiatif merobohkan sendiri struktur rumahnya yang berada di kawasan rizab itu secara berperingkat sejak minggu lalu.

"Sejak notis arahan perobohan diterima pada November lalu, saya mengambil keputusan merobohkan sendiri struktur dua bilik tidur dan bilik air.

“Sebaik pihak berkuasa tiba kira-kira jam 7 pagi tadi, hanya sebahagian kecil saja kerja perobohan dilakukan kerana saya sendiri sudah merobohkan struktur di atas tanah rizab sejak minggu lalu," katanya ketika ditemui di lokasi.

Komari berkata, dia tinggal bersama isteri dan lima anaknya di rumah berkenaan sejak 2008 selepas membeli tanah di situ daripada seorang penduduk tempatan.

"Saya membeli tanah ini pada harga RM10,000 dan membina sebuah rumah dengan kos kira-kira RM50,000. Malah, urusan jual beli tanah itu ada dokumen jual beli yang masih disimpan.

"Bagaimanapun, saya reda dengan apa yang berlaku dan bercadang tetap tinggal di rumah ini walaupun terpaksa tidur dalam longgokan barang kerana hanya ruang tamu, satu bilik dan ruang letak kenderaan yang masih ada," kata buruh binaan berkenaan.

Seorang lagi penghuni rumah yang dirobohkan, Mahfuz Ariffin, 47, berkata dia menerima notis berhubung perobohan itu pada November lalu.

"Sebaik menerima notis itu, saya memaklumkan kepada isteri dan dua anak supaya mengemas barang dan memindahkannya ke sebuah bilik yang tidak dirobohkan.

"Namun, barang dalam rumah terlalu banyak menyebabkan sebahagiannya terpaksa diletakkan di luar rumah memandangkan ruang tamu, dua bilik tidur dan bilik air terpaksa dirobohkan," katanya yang juga pekerja kontrak.

Mahfuz juga bercadang untuk terus mendiami rumah berkenaan yang dibelinya pada harga RM15,000 pada 2004 walaupun hanya tinggal satu bilik.

“Saya akan ubah suai bilik berkenaan dalam masa terdekat kerana tidak mampu menyewa rumah lain. Gaji saya kecil dan isteri pula tidak bekerja menyebabkan kami mengambil keputusan untuk tetap tinggal di sini.

"Malah, kami sekeluarga amat sayangkan rumah ini kerana ada banyak kenangan sepanjang kami tinggal di sini," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 37 rumah dibina di rizab sungai dirobohkan oleh PDT Petaling bagi memberi laluan kepada projek pelebaran Sungai Kedondong untuk mengatasi masalah banjir kilat pada September lalu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa terbabit memberi tempoh kepada 56 pemilik rumah lain bagi membolehkan anak mereka menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum kerja perobohan dilakukan.

LEBIH 40 struktur rumah yang dibina di tanah rizab sungai di Kampung Paya Jaras Hilir dirobohkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling, hari ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Berita Harian X