Isnin, 9 Disember 2019 | 9:45am
Keadaan tanah runtuh di Kilometer 96.7, Jalan Kota Kinabalu - Sandakan, berhampiran Kampung Pinausok, Ranau. - Foto Recquel Raimi
Keadaan tanah runtuh di Kilometer 96.7, Jalan Kota Kinabalu - Sandakan, berhampiran Kampung Pinausok, Ranau. - Foto Recquel Raimi

Guna laluan alternatif Kota Kinabalu-Sandakan

RANAU: Pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh kerja pembersihan dilakukan, susulan kejadian tanah runtuh di Kilometer 96.7 Jalan Kota Kinabalu-Sandakan berhampiran Kampung Pinausok di sini, kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Ranau, Terry Ladas berkata, pihaknya dan konsesi JKR, Syarikat Lintasan Resources Sdn Bhd giat menjalankan operasi membersihkan sisa runtuhan seawal jam 6 pagi tadi.

Katanya, hujan berterusan sejak jam 2 petang sehingga 9 malam tadi menyebabkan runtuhan bukit di tepi jalan terbabit dan menutup laluan kedua-dua arah sepanjang 100 meter.

“Operasi pembersihan bermula malam tadi, namun ditangguhkan sebagai langkah keselamatan kerana pergerakan tanah runtuh masih berlaku sebelum disambung pagi ini.

“Kesan hujan semalam menyebabkan tanah setinggi 150 meter dengan lebar 30 meter terhakis dan sebahagiannya menjadi lumpur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Keadaan tanah runtuh di Kilometer 96.7, Jalan Kota Kinabalu - Sandakan, berhampiran Kampung Pinausok, Ranau. - Foto Recquel Raimi
Keadaan tanah runtuh di Kilometer 96.7, Jalan Kota Kinabalu - Sandakan, berhampiran Kampung Pinausok, Ranau. - Foto Recquel Raimi

Katanya, tiga jentera dan empat lori digunakan untuk membersihkan serta membaik pulih keadaan laluan.

“Pemasangan saluran ‘culvert’ turut dilakukan dan dianggarkan mengambil masa dua minggu.

“Pemerhatian mendapati masih ada air mengalir dari puncak disebabkan kerja meratakan tanah dan ia mungkin berterusan jika hujan berterusan,” katanya.

Sehubungan itu, Terry menasihatkan pengguna jalan raya di Kundasang menggunakan laluan alternatif di Jalan Semuruh, Jalan Kibbas (Kamoung Dumpiring), Jalan Pinausok Kundasang atau Jalan Kiulu-Rondogung Ranau bagi yang menghala ke Kota Kinabalu dan Ranau.

“Jalan alternatif lain adalah Jalan Ranau-Tambunan-Kota Kinabalu (Jalan Gunung Emas) dan Jalan Ranau-Kota Marudu (Jalan Marak-Parak),” katanya.

Kejadian tanah runtuh itu turut menyebabkan lebih 50 kawasan mengalami gangguan bekalan elektrik dan diselenggarakan segera oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sejak malam tadi.

Berita Harian X