X
Isnin, 9 Disember 2019 | 11:56am
IBU kanak-kanak lelaki yang dipercayai terpisah daripada keluarganya ketika berkelah di Teluk Batik, Lumut mengambil anaknya di Balai Polis Seri Manjung selepas dihantar orang awam yang menemuinya. - Ihsan pembaca
IBU kanak-kanak lelaki yang dipercayai terpisah daripada keluarganya ketika berkelah di Teluk Batik, Lumut mengambil anaknya di Balai Polis Seri Manjung selepas dihantar orang awam yang menemuinya. - Ihsan pembaca

'Saya risau tengok dia berjalan seorang diri...'

LUMUT: “Kami sekeluarga menghantar kanak-kanak itu ke balai polis supaya keselamatannya terjamin hingga ahli keluarganya datang.”

Abdul Halim Sibi, 30, adalah individu yang membantu kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Mohd Hidayatullah Ahmad, 8, yang dipercayai terpisah daripada keluarganya ketika berkelah di Teluk Batik di sini, semalam.

Usaha mengesan keluarga Mohd Hidayatullah tersebar di media sosial sejak petang semalam.

Abdul Halim berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.20 petang ketika beliau bersama isteri dan seorang anak dalam perjalanan pulang selepas berkelah di pantai Teluk Batik bersama ahli keluarga lain.

“Ketika menuruni bukit, saya ternampak seorang kanak-kanak berjalan seorang diri hampir tiga kilometer (km) dari tempat letak kenderaan. Sudah tentulah saya risau tengok dia begitu.

“Dia mendakwa terpisah dengan ibu dan kakaknya ketika menukar baju dan tidak menemui mereka walaupun sudah mencari di tempat letak kenderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau dan isteri menumpangkan Mohd Hidayatullah dan menghantarnya ke balai polis sebelum membuat hantaran di Facebook untuk mengesan keluarga kanak-kanak itu.

“Dia hanya memaklumkan tinggal di RK dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Balun Bidai, Kampung Gajah yang membuatkan kami buntu untuk membantu sebelum segera ke balai polis.

“Saya menunggu hingga ahli keluarga kanak-kanak itu datang sebelum ibunya tiba pada jam 4 petang.

“Ibunya memaklumkan mencari kanak-kanak itu di sekitar Teluk Batik dan bertanyakan kepada pengawal pantai serta orang awam di situ sebelum dimaklumkan anaknya berada di balai polis,” katanya yang tinggal di Ipoh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kanak-kanak terbabit sudah diambil ibunya.

Katanya, kanak itu ditemui orang awam dalam keadaan takut, berjalan seorang diri dan menangis sebelum dihantar ke Balai Polis Seri Manjung untuk tindakan selanjutnya.

Berita Harian X